Anda di sini

Main judi holo di tempat awam, empat lelaki didenda

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM700 atau sebulan penjara setiap seorang terhadap empat lelaki tempatan yang mengaku bersalah bermain judi jenis holo di tempat awam.

Tay Hong Siong, 46, Chan Choon Eng, 55, Lo Khee Hui, 45 dan Siew Yien Nam, 50, masing-masing membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Kesemua tertuduh bersama beberapa individu yang masih bebas didakwa secara bersama melakukan perbuatan tersebut pada 3 Julai lalu, jam lebih kurang 2.40 petang di sebuah pondok di Jalan Chawan, di sini. 

Menurut keterangan kes, sepasukan polis membuat serbuan terhadap sekumpulan lelaki yang sedang berkumpul dipercayai sedang bermain judi holo pada hari kejadian.

Kesemua lelaki tersebut bagaimanapun bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran polis.

Keempat-empat tertuduh seterusnya berjaya ditangkap sepasukan polis tersebut dan seterusnya didakwa di bawah Seksyen 7(1) dan dihukum mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
 

  • oleh
  • Advertisement