Anda di sini

Kompasu ragut 11 nyawa di Filipina

Advertisement
 

MANILA: Sekurang-kurangnya 11 maut dan tujuh lagi hilang selepas hujan lebat di seluruh Filipina membanjiri beberapa kampung dan mencetuskan tanah runtuh, kata pihak berkuasa kelmarin.

Ribut Tropika Kompasu membadai pulau yang berpendudukan paling padat di Luzon dan membanjiri seluruh kepulauan itu ketika menuju ke Laut China Selatan pada Isnin.

Dalam kejadian tanah runtuh, enam orang terkorban dan dua lagi hilang di wilayah pergunungan Benguet, manakala seorang lagi lemas di daerah Cagayan, menurut agensi bencana nasional.

Empat terbunuh dalam banjir kilat yang melanda dua bandar di pulau Palawan, di mana lima mangsa masih hilang.

Pengawal Pantai menyatakan pasukan penyelamat mereka menemui tiga lagi mayat di wilayah utara, Ilocos Sur, namun agensi bencana belum lagi mengesahkan sama ada kematian tersebut mempunyai kaitan dengan bencana ribut itu.

“Sebelas bandar telah dilanda banjir namun ia semakin surut pagi ini,” kata pegawai maklumat wilayah Cagayan, Rogelio Sending.

Lebuh raya utama dan jambatan dibanjiri, tetapi paras air telah menurun kelmarin tatkala ribut menuju ke tanah besar negara itu.

“Sekitar tujuh dan lapan barangay (perkampungan) masih dilanda banjir, ekoran parit tersumbat mahupun kekurangan sistem perparitan,” kata Earl Timbancaya, pegawai bencana di bandar Puerto Princesa di Palawan.

“Ia semakin surut sekarang.”

Secara purata, Filipina dilanda 20 ribut dan taufan setiap tahun, yang selalunya membinasakan tanaman, kediaman dan bangunan di kawasan yang sudah sedia mundur. -AFP

Advertisement