Anda di sini

Kerjasama PIBG dan pihak sekolah penting: Robert

Advertisement
 Junior (kanan) menyampaikan sumbangan bagi pihak Robert kepada Japrin dan disaksikan Dr. Franchis.
SAMPAIKAN: Junior (kanan) menyampaikan sumbangan bagi pihak Robert kepada Japrin dan disaksikan Dr. Franchis.



KENINGAU: Kerjasama erat diantara Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dengan pihak sekolah penting kerana ia diyakini mampu meningkatkan tahap kecemerlangan serta prestasi para pelajar.


Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik berkata PIBG memainkan peranan yang penting terutama pada ketika ini kerana tanpa penglibatan mereka, pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sudah tentu tidak dapat dilaksanakan.


Berbanding dahulu kata Robert, PIBG pada era digital ketika ini bukan sekadar terlibat dalam mesyuarat atau program gotong-royong dan lain-lain aktiviti tetapi juga dalam pelaksanaan PdPR dalam menghadapi pandemik COVID-19.


Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata, kerjasama murni ibu bapa sudah pasti dapat membantu warga pendidik mengatasi pelbagai cabaran norma baharu pendidikan terutama apabila berhadapan dengan keperluan kemudahan capaian internet yang masih lagi menjadi cabaran utama.


“Saya yakin dan percaya cabaran dan masalah capaian internet ini berlaku kepada seluruh sekolah dimana sahaja, namun pihak kementerian yang berwajib tentunya sudah mengenal pasti jalan penyelesaian ini.


"Bagi ibu bapa, saya harap semua terus berganding bahu menjayakan apa juga program sama ada dilaksanakan secara bersemuka kelak atau secara maya,” jelasnya.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Junior Fred Vincent Marukau, sempena perasmian mesyuarat Agung Tahunan kali ke-40 Sekolah Kebangsaan (SK) Bunga Raya, di sini hari ini.


Sementara itu, Guru Besar SK Bunga Raya, Dr. Franchis Andin berkata warga pendidik sentiasa berusaha dengan kerjasama baik ibu bapa bagi memastikan aktiviti PdPR berjalan mengikut jadual dengan menggunakan pelbagai medium penyampaian yang sesuai.

 
Pada masa sama, katanya norma baharu persekolahan kini telah menjadi amalan semua pihak sebagai usaha pencegahan penularan pandemik COVID-19 selaras dengan arahan dan garis panduan pihak kementerian berkaitan dari semasa ke semasa.


Katanya, mesyuarat yang dilaksanakan dua hala iaitu sebahagian ibu bapa hadir secara maya dan sebahagian lagi bersemuka berjalan dengan lancar mengikut SOP yang telah ditetapkan.

 
Pasa mesyuarat itu, Japrin Thomas dipilih semula sebagai Yang Di Pertua PIBG SK Bunga Raya sesi 2021-2022, manakala Matinah Mupin sebagai Setiausaha dan Malinah Mupin sebagai Bendahari dan mengekalkan sebahagian besar AJK kecil 2019-2020.


Sempena majlis itu juga, pihak PIBG SK Bunga Raya menerima sumbangan kewangan daripada Robert yang disampaikan oleh Junior.
 

  • oleh
  • Advertisement