Anda di sini

Kelengkapan ESSCOM perlu diberi perhatian

Advertisement
 Nizam (dua kanan) semasa sidang media, di sini hari ini.
SIDANG MEDIA: Nizam (dua kanan) semasa sidang media, di sini hari ini.

TAWAU: Kerajaan diminta untuk terus memberikan komitmen dan perhatian kepada kelengkapan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi keberkesanan semasa menjalankan operasi.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kewujudan ESSCOM di negeri ini sangat tepat khasnya bagi kawasan di pantai timur Sabah.

“Kejayaan ESSCOM dalam merencanakan dan mengawal selia keselamatan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) sudah berjaya mengekang jenayah di negeri ini.

“Bagaimanapun, aset ESSCOM masih perlu ditambah agar kawalan dapat dilakukan dengan baik terutamanya di kawasan persisir pantai,”katanya ketika sidang media, di sini hari ini.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata banyak kawasan di daerah Tawau sudah menjadi tumpuan penjenayah rentas sempadan.

“DUN Apas juga tidak terkecuali memandangkan ia diliputi sebahagian besarnya adalah kawasan laut terbentang luas yang menjadikannya sebagai lokasi paling terdedah dengan jenayah dari negara jiran.

“Justeru, masyarakat di daerah ini perlu menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan supaya tidak ada ruang bagi penjenayah dari luar masuk ke negara kita,”katanya.

Dalam pada itu, katanya, Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang diwujudkan di kampung (Kg) Batu Payong, Kg. Tinagat dan Kg. Membalua adalah satu contoh kerjasama yang baik masyarakat bersama pasukan keselamatan.

“Saya difahamkan SRS adalah kerjasama ESSCOM, Jabatan Perpaduan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemimpin akar umbi dan penduduk kampung.

“Banyak kejayaan anggota SRS sudah perolehi samada tangkapan kecil sehinggalah tangkapan yang berprofile tinggi,”katanya.

Nizam berkata, sebagai wakil rakyat di DUN Apas menzahirkan terima kasih kepada pihak ESSCOM dan agensi keselamatan yang lain kerana sudah menjaga perairan negara dengan baik.

“Kerjasama ESSCOM bersama masyarakat kampung dapat mewujudkan kesedaran agar setiap penduduk mempunyai tanggungjawab terhadap keselamatan dan keamanan kampung mereka.

“Saya berharap SRS ini akan berterusan dan dibawa ke kampung lain khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan penjenayah sebelum ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement