Anda di sini

Kehadiran penyokong ke stadium legakan "kantung" kewangan pasukan

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KOTA BHARU: Keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan penonton hadir di stadium menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021 dilihat mampu memberi kelegaan kepada “kantung”  kewangan pasukan yang bertanding dalam kejohanan itu.

Presiden Kelantan United (KUFC) Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata kebenaran itu memberi peluang kepada pasukan menjana pendapatan menerusi jualan tiket, jersi dan sebagainya.

Beliau berkata kehadiran penyokong juga akan turut sama menyuntik semangat pemain ketika beraksi seterusnya memberi persembahan terbaik mereka.

"Kami melihat kehadiran penyokong akan membantu mengurangkan bebanan kewangan pasukan untuk mengharungi baki perlawanan Piala Malaysia selain persiapan menghadapi saingan liga musim depan yang memerlukan peruntukan jutaan ringgit.

Kami berterima kasih kepada kerajaan dan sebagai pemimpin pasukan bola sepak sudah tentu saya ingin melihat sukan tersebut dapat kembali beraksi dengan kehadiran penonton selepas hampir dua tahun sunyi tanpa sorakan penyokong," katanya kepada Bernama semalam.

Semalam MFL mengesahkan penonton dibenarkan hadir di stadium bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021 dengan jumlah penyokong yang dibenarkan adalah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara  setiap negeri.

Kebenaran itu berdasarkan prosedur operasi standard yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara,  Kementerian Kesihatan serta Kementerian Belia dan Sukan. - BERNAMA
 

Advertisement