Anda di sini

Hajiji mahu PBNS diperkasakan dengan penuh komitmen

Advertisement
 Hajiji (tengah) menyerahkan watikah pelantikan kepada Omar (kiri) sambil diperhatikan oleh Mohd. Arifin (kanan).
WATIKAH: Hajiji (tengah) menyerahkan watikah pelantikan kepada Omar (kiri) sambil diperhatikan oleh Mohd. Arifin (kanan).

KOTA KINABALU: Pengurusan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) perlu memperkasakan amanah yang dipikul dengan penuh komitmen.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, PBNS adalah sebuah institusi yang penting dalam membantu masyarakat Islam di Sabah.

Sehubungan itu, beliau mahu pengerusi dan pengurusan PBNS dapat memastikan objektif penubuhan perbadanan baitumal tercapai.

"Antara lain objektif PBNS ialah mengumpul dan mentadbir wang atau harta alih atau tidak alih mengikut peruntukan Enakmen Perbadanan Baitulmal dan Hukum Syarak.

"PBNS juga bertanggungjawab terhadap pentadbiran segala urusan berhubung dengan harta wakaf dan nazar," katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi PBNS yang baharu kepada Omar Raisul As-Salam Sulaiman Omar di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji berkata, PBNS turut berperanan untuk membelanjakan atau menggunakan wang dan harta yang diperolehi bagi memajukan, menggalakkan, memudahkan dan menyelenggarakan pembangunan ekonomi, sosial serta kebajikan orang-orang Islam di  Sabah mengikut hukum syarak.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pelantikan pengerusi baharu PBNS itu sebagai satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh komitmen bagi memperkasakan PBNS.

Turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif; Setiausaha Tugas-Tugas Khas Sapdin Ibrahim dan Timbalan Pengerusi PBNS Ag. Syairin Ag. Bakar.
 

  • oleh
  • Advertisement