Anda di sini

ESSCOM rancang wujudkan lebih banyak SRS di Sabah

Advertisement
 Ahmad Fuad menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota SRS Kg. Batu Payong, Kg. Tinagat dan Kg Membalua.
PENGHARGAAN: Ahmad Fuad menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota SRS Kg. Batu Payong, Kg. Tinagat dan Kg Membalua.

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merancang untuk mewujudkan lebih banyak Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan perkampungan atas air dan persisir pantai di negeri ini.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata peranan anggota SRS dilihat banyak membantu pasukan keselamatan menguatkuasakan Ops Benteng khasnya di kawasan persisir pantai.

“Sejak penubuhan SRS di tiga buah kampung di daerah ini iaitu di Kampung (kg) Batu Payong, Kg.Tingat dan Kg. Membalua, kadar jenayah di kawasan tersebut telah berkurangan.

“Kejayaan di kampung tersebut telah membuka cara kita berfikir untuk memperluaskan lagi penubuhan SRS di setiap kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam program keselamatan komuniti dan rondaan sukarela, di kampung Batu Payong, di sini semalam.

Ahmad Fuad berkata ESSCOM berpendapat keselamatan komuniti dan SRS perlu diwujudkan dengan kadar segera di kawasan-kawasan tumpuan penjenayah yang sudah dikenal pasti.

“Dengan adanya anggota SRS itu membolehkan tindakan awal dilakukan dalam usaha membanteras jenayah dan ia adalah saluran yang tepat bagi mencapai objektif tersebut,”katanya.

Menurutnya, ESSCOM akan menggunakan pelbagai cara untuk menjaga keselamatan di pantai timur Sabah bagi mengurangkan kadar jenayah rentas sempadan.

“Kawasan tanggungjawab ESSCOM sangat luas dan mustahil pasukan keselamatan berada di semua tempat terutamanya yang jauh dari pos kawalan.

“Justeru, ESSCOM akan menggunakan kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut termasuklah mewujudkan SRS dan bekerjasama dengan agensi lain,”katanya.

Katanya, masyarakat setempat mempunyai peranan penting membantu pasukan keselamatan menjaga kampung, ketenteraman dan keamanan.

“Saluran seperti SRS menjadikan masyarakat sebagai mata dan telinga pasukan keselamatan dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan.

“Melalui risikan ESSCOM, sejak SRS ini diwujudkan banyak bot-bot tidak dapat masuk di kawasan tersebut.

“Malah banyak kejayaan sudah diperolehi seperti tangkapan seramai 32 pendatang tanpa izin (PTI), penyeludup barang kawalan dan pengedaran dadah terbesar di Sabah,” katanya.

Turut hadir Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

  • oleh
  • Advertisement