Anda di sini

Warga emas didenda RM20,000 akibat cuba rasuah pegawai PGA

Advertisement
Lau (tengah) diiring pegawai SPRM semasa berada di Mahkamah Kuching, hari ini. - Gambar ihsan SPRM
Lau (tengah) diiring pegawai SPRM semasa berada di Mahkamah Kuching, hari ini. - Gambar ihsan SPRM

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM20,000 terhadap seorang warga emas lelaki yang mengaku bersalah menawarkan dan memberikan suapan kepada pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA).

Hakim Steve Ritikos juga memerintahkan tertuduh, Lau Yew Chuong, 68, yang didakwa mengikut pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan, untuk dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan alternatif, lelaki bekerja sendiri itu didakwa menawarkan dan memberikan suapan wang tunai berjumlah RM10,000 kepada pegawai PGA, ASP Norman Chendan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.  

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 25 November 2020, jam lebih kurang 12 tengah hari di sebuah rumah di Jalan Hup Kee, di sini.

Hasil siasatan mendapati tertuduh menawarkan wang kepada pegawai tersebut susulan dia menyimpan pelbagai jenama rokok, kretek dan arak namun gagal mengemukakan sebarang dokumen sah mengenai pemilikan barangan tersebut. 

Tertuduh Lau Yew Chuong diwakili peguam, Francis Wee manakala pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kamsiah Ahmad.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pengurus bengkel turut didenda RM20,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar selepas mengaku bersalah memberikan suapan berjumlah RM12,000 kepada seorang pegawai dari Pasukan Unit Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak.

Baharudy Bohari, 37, didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 13 Ogos lalu, jam lebih kurang 10.15 malam di bengkel membaiki kenderaan miliknya yang terletak di Bau. 

Tertuduh menawarkan suapan sebagai balasan supaya tidak diambil tindakan undang-undang kerana tertuduh disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggajikan pekerja warganegara Indonesia tanpa permit kerja yang sah, tinggal lebih masa, melindungi PATI dan tidak memiliki dokumen perjalanan.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan bagi kes ini dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Miller Jawoi manakala tertuduh Baharudy tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement