Anda di sini

Sarawak kekal syarat perlu buat permohonan enterSarawak untuk masuk ke negeri 

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak masih mengekalkan syarat dimana indiviu yang ingin memasuki Sarawak perlu membuat permohonan dalam enterSarawak serta mematuhi syarat-syarat permohonan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan hari ini berkata ia meskipun telah ada kebenaran kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada PDRM bermula 11 Oktober 2021. 

“Ini termasuklah bukti status ‘lengkap vaksinasi’ dan keputusan ujian COVID-19 yang ‘negatif’ dalam tempoh tiga hari sebelum memasuki Sarawak.

“JPBNS ambil maklum ada dalam kalangan rakyat yang tidak sabar ingin pulang berjumpa dengan keluarga tersayang di Sarawak dan mengharapkan kelonggaran penuh diberikan tanpa sebarang permohonan kemasukan,” katanya.

Menurut jawatankuasa terdapat sebab-sebab Sarawak masih mengekalkan syarat saringan COVID-19 sebelum kemasukan ke Sarawak.

Katanya sebanyak 106 kes import B dikesan di Sarawak pada bulan Ogos 2021, manakala 83 kes import B dikesan pada bulan September 2021. 

Jelas jawatankuasa kes-kes ini dikesan semasa dalam tempoh kuarantin selepas memasuki Sarawak dari negeri-negeri lain.

“Terdapat banyak lagi kes dikesan positif sebelum permohonan kemasukan ke Sarawak. 

“Syarat saringan sebelum kemasukan ke Sarawak ini telah membantu mengurangkan risiko penyebaran dalam pesawat dan melindungi penumpang dalam pesawat yang sama,” katanya.

Jawatankuasa memaklumkan bagi individu yang ingin memohon untuk memasuki Sarawak boleh membuat ujian RTK Antigen (swab) di fasiliti kesihatan kerajaan dengan harga RM60, dan keputusan boleh diperolehi dengan cepat. 

“Bagi mereka yang terpaksa membuat permohonan semula enterSarawak (dan melebihi tempoh sah laku ujian COVID-19) disebabkan penukaran penerbangan oleh syarikat penerbangan, mereka boleh sertakan bukti penukaran penerbangan bagi pertimbangan urusetia enterSarawak.

“Buat masa ini, bukti status lengkap vaksinasi perlu disertakan di dalam permohonan enterSarawak agar proses semakan setibanya di Sarawak tidak tertangguh,” katanya lagi.

Manakala katanya pertimbangan juga akan dibuat bagi mereka yang tidak memiliki aplikasi MySejahtera. 

Sarawak akan membuat penambahbaikan dari segi semakan status lengkap vaksinasi agar tidak membebankan penumpang yang memasuki Sarawak, kata jawatankuasa.

“Sarawak bukan satu-satunya negeri yang masih menetapkan syarat saringan COVID- 19 sebelum kemasukan. 

“Negeri Sabah juga masih menetapkan syarat yang sama, iaitu saringan RTK atau PCR dalam tempoh 3 hari sebelum memasuki Sabah, demi melindungi rakyat di Sabah daripada jangkitan COVID-19.

“JPBNS menyeru semua anak Sarawak yang ingin balik ke Sarawak agar bersabar dengan syarat-syarat ini, kerana ianya bertujuan untuk melindungi keluarga dan rakan-rakan di Sarawak, serta semua penumpang dalam penerbangan yang sama,” katanya.

Jawatankuasa berkata penilaian serta penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa, agar tidak membebankan, di samping melindungi anda dan keluarga anda.

  • oleh
  • Advertisement