Anda di sini

Sabah rekod 751 kes baharu COVID-19

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Sabah terus mencatatkan peningkatan kes baharu COVID-19 dengan penambahan 44 kes hari ini kepada 751 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, perbandingan antara jumlah daerah yang mencatatkan peningkatan dan penurunan adalah seimbang.

Katanya, masing-masing 13 daerah mencatatkan peningkatan dan penurunan serta Kuala Penyu satu-satunya daerah mengekalkan catatan sebagaimana semalam.

Menurutnya, terdapat lapan daerah yang mencatatkan peningkatan kes agak tinggi iaitu Tenom, Sandakan, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Penampang, Beaufort, dan Tambunan.

"Antara daerah yang mencatatkan penurunan kes ialah Kudat, Putatan, Tawau, Kota Marudu, dan Pitas.

"Kes sebenar yang didaftarkan sejak 24 jam lepas hanyalah 507 kes atau 67.5 peratus daripada kumulatif harian dan selebihnya adalah kes-kes yang didaftarkan selepas dua hari keputusan diketahui," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah kes jangkitan baharu semalam, 8.26 peratus adalah kategori satu dan 84.4 peratus lagi dari kategori dua.

Menurutnya, jumlah pesakit kategori tiga seramai tujuh orang, dan pesakit kategori empat dan lima masing-masing seorang pesakit. Sebanyak 46 kes masih dalam siasatan lanjut.

Selain itu katanya, berikutan kebenaran rentas daerah dan negeri yang diputuskan kerajaan negeri, masyarakat digesa untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kendiri yang digariskan agar kawalan jangkitan baharu dapat dibendung.
 

  • oleh
  • Advertisement