Anda di sini

OSC MIDA permudah kebenaran masuk syarikat dengan nilai pelaburan RM121.37 bilion

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi pusat sehentinya yang berusia setahun One Stop Centre (OSC) bagi Pengembara Perniagaan telah mempermudahkan 1,120 syarikat dan 2,822 pengembara perniagaan jangka pendek (STBT) dengan nilai pelaburan RM121.37 bilion.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata pusat itu yang ditubuhkan pada 2 Oktober tahun lepas telah memudahkan proses permohonan kemasukan dan pergerakan pengembara perniagaan di Malaysia.

“OSC adalah pencetus perubahan bagi pelabur baharu untuk menjalankan aktiviti perniagaan baharu dan yang sedia ada bagi mengembang atau mempelbagaikan operasi sedia ada mereka,” katanya dalam ucapan pembukaan beliau pada satu webinar mengenai OSC bagi Pengembara Perniagaan, hari ini.

Webinar yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai program OSC untuk memudahkan pergerakan STBT dengan mempercepat kelulusan kemasukan mereka ke Malaysia.

Menurutnya, MIDA terus mengalu-alukan pelabur untuk menjalankan perniagan di Malaysia di tengah-tengah pandemik dan Malaysia kekal berada di landasan pemulihan ekonomi dan pertumbuhan di samping mengimbangi antara melindungi kesihatan awam dan mata pencarian. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (bahagian tenaga kerja) Afidah Mastor berkata daripada 2,822 penilaian bagi STBT, 2,121 (75 peratus) telah diluluskan, manakala 580 (21 peratus) ditolak dan 121 (4 peratus) masih menunggu keputusan.

“Bagi pengembara perniagaan jangka panjang, MIDA telah menilai 18,659 pengembara dan 90.8 peratus tela diluluskan manakala 9.2 peratus ditolak,” katanya.

Afidah berkata enam negara utama yang memohon di bawah program tersebut ialah Jerman, jepun, Amerika Syarikat, Indonesia, China dan Korea Selatan. - Bernama 

Advertisement