Anda di sini

MARDI lancar empat produk baharu

Advertisement
Sebanyak empat produk hasil penyelidikan dan inovasi MARDI dilancarkan pada Hari Inovasi MARDI (HIM) 2021 iaitu Produk Minuman Berasaskan Terung Asam Kaya dengan Asid Hidroksisinamik, Produk Krim Antiradang Berasaskan Sayuran Maman, Air Kelapa Muda Berkabonat dan Ais Krim Kelapa Kurang Kalori. - Gambar Bernama
Sebanyak empat produk hasil penyelidikan dan inovasi MARDI dilancarkan pada Hari Inovasi MARDI (HIM) 2021 iaitu Produk Minuman Berasaskan Terung Asam Kaya dengan Asid Hidroksisinamik, Produk Krim Antiradang Berasaskan Sayuran Maman, Air Kelapa Muda Berkabonat dan Ais Krim Kelapa Kurang Kalori. - Gambar Bernama

SERDANG: Minuman antiobesiti berasaskan terung asam dan krim antiradang daripada sayur maman antara empat produk baharu berasaskan tumbuhan tempatan yang memfokuskan kepada aspek kecantikan dan kesihatan dilancarkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) semalam.

Dua lagi produk ialah minuman kelapa muda berkarbonat dan aiskrim kelapa kurang kalori yang dilancarkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani bersempena Hari Inovasi MARDI 2021 semalam.

"Diharapkan produk-produk ini dapat dikomersialkan kerana produk ini sememangnya dekat dengan rakyat. Misalnya, minuman kelapa muda berkarbonat dan aiskrim kelapa kurang kalori ini yang secara tidak langsung menggalakkan industri penanaman kelapa negara," kata Ronald.

Dalam pada itu, Mohamad Zabawi berkata institut penyelidikan itu sedang berbincang dengan syarikat yang berminat mengambil teknologi MARDI bagi membolehkan syarikat  tersebut meneruskan pembuatan produk tersebut untuk pasaran.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Prinsipal MARDI Dr Zuraida Ab Rahman berkata minuman berasaskan terung asam yang kaya dengan asid hidroksisinamik, merupakan produk hasil kajian pasukannya yang mengambil masa tiga tahun untuk dihasilkan.

Beliau berkata minuman yang diekstrak daripada terung asam itu, dibangunkan sebagai produk untuk pengurusan berat badan atau antiobesiti.

"Apabila kita ambil produk ini ia akan mengurangkan rasa lapar dan menerusi proses yang kita buat kajian satu gen, ia mampu memecahkan lemak dan mempunyai fiber yang tinggi serta membantu memulihkan masalah usus.

"Terung asam ini berasal dari Sarawak dan sering digunakan dalam masakan namun apabila diekstrak melalui satu proses, ia mempunyai nilai yang tinggi untuk pengurusan berat badan dan hanya menggunakan produk yang segar," katanya. 

Pengarah Pusat Strategik MARDI Dr Sanimah Simoh pula berkata produk krim antiradang yang dicipta pasukannya, diformulasi daripada gabungan ekstrak sayuran maman dan minyak kelapa dara untuk mengurangkan kesan keradangan kulit.

"Maman ni biasanya kita buat rendang atau jeruk, tetapi hasil penyelidikan kami menemukan sayuran ini kaya dengan fitokimia semula jadi yang dikira selamat dan berpotensi merawat keradangan," katanya. - Bernama 

Advertisement