Anda di sini

Kes tembak: Dipercayai berpunca masalah rumahtangga

Advertisement
Anggota JSJ IPD Padawan menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Padawan menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

KUCHING: Seorang anggota askar terbunuh terkena tembakan, manakala ibu mentuanya cedera di bahu dalam satu insiden di Kampung Kolong 1, Jalan Sungai Tengah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin  Abang Ahmad berkata kejadian berlaku apabila anggota askar terbabit yang berusia 28 tahun pulang ke rumah keluarga isterinya sekitar jam 12.45 tengah hari.

Menurutnya, anggota terbabit yang berasal dari Matang dikatakan hendak berbincang mengenai rumahtangganya yang kini dalam proses penceraian.

"Bagaimanapun, semasa dalam perbincangan, anggota askar terbabit marah dan mengambil senjata jenis senapang M4 yang disimpan di dalam kereta.

"Dia kemudian melepaskan beberapa das tembakan dalam rumah di bahagian ruang tamu dan dapur sehingga (tembakan) terkena bahu kiri ibu mernuanya," katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya juga, suspek kemudian bertindak keluar dari rumah dan menembak dirinya sendiri.

"Suspek (askar) kemudian pergi menghala ke hadapan rumah dan terus menembak dirinya dari bahagian dagu. Ekoran itu, suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya. 

Beberapa anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan terus ke lokasi kejadian selepas menerima laporan berhubung kejadian.

Anggota dari Unit Forensik IPK Sarawak turut hadir menjalankan siasatan bersama Pakar Patologi Hospital Umum Sarawak.

Manakala ibu mentua suspek dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Zon Merah Unit Kecemasan HUS.

Suspek merupakan seorang anggota askar yang bertugas di sebuah kem Tentera Darat di Tondong, Bau dan samasa kejadian dikatakan sedang dalam penugasan bersama Pasukan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Suspek dikatakan meminjam kereta rakannya untuk pergi ke rumah isterinya," katanya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Susulan itu, kita mohon orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang dikhuatiri menganggu siasatan polis," ujarnya.

Advertisement