Anda di sini

Enam mesin hemodialisis, bantu pesakit buah pinggang di Sarawak 

Advertisement
Fatimah (tiga kanan) menyerahkan mesin hemodialisis untuk kegunaan pesakit buah pinggang di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan. - Gambar oleh Roystein Emmor
Fatimah (tiga kanan) menyerahkan mesin hemodialisis untuk kegunaan pesakit buah pinggang di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak membeli enam mesin hemodialisis secara tender tahun ini untuk diletakkan di enam hospital di seluruh negeri. 

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata dua mesin akan diletakkan di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan dan masing-masing satu di Hospital Dalat, Saratok, Sarikei dan Marudi. 

"Setakat ini, Pusat Jantung Sarawak mempunyai 20 mesin dan dapat menampung 45 pesakit sehari dan tambahan dua mesin ini akan menampung 12 pesakit sehari," katanya ketika penyerahan mesin itu di pusat itu hari ini. 

Jelasnya lagi, mesin hemodialisis yang diletakkan di hospital ini adalah mengikut keperluan penggunaan pesakit bagi rawatan selain menggantikan mesin lama. 

Setiap mesin katanya bernilai RM41,500 dan jumlah keseluruhan perbelanjaan pembelian bagi enam mesin ini adalah RM249,000.

Dalam pada itu katanya peruntukan bagi Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang di Sarawak pada 2020 ialah RM4,673,917 manakala pada 2021 (RM6,023,917) dan RM3.2 juta untuk tahun 2022. 

Mengenai Belanjawan Negeri 2022, Fatimah berkata dengan peruntukan RM372 juta ia akan memberi manfaat kepada golongan rakyat memerlukan. 

"Inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan negeri untuk membantu mereka ini dengan antaranya Insentif Bayi Baru Lahir Sarawak, Bantuan Selepas Bersalin, Institusi Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. 

"Kita juga ada Kenyalang Gold Card, Bantuan Hemodialisis, Insentif i-Suri dan banyak lagi di bawah Jabatan Kebajikan dalam inisiatif ini," katanya. 

Advertisement