Anda di sini

9 maut, 11 hilang akibat ribut tropika di Filipina

Advertisement
 

MANILA: Sekurang-kurangnya sembilan maut dan 11 yang lain hilang akibat ribut tropika Kompasu yang menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di Filipina, menurut kerajaan pada Selasa, lapor Xinhua.

Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional mengatakan mangsa yang maut adalah penduduk wilayah utara Filipina dan Palawan, sebuah pulau yang terletak di luar pulau Luzon. Dua yang lain turut cedera, tambahnya.

Agensi itu mengatakan ribut berkenaan mengakibatkan banjir di 15 kawasan dan tanah runtuh di empat wilayah, menjejaskan jalan raya dan jambatan. Lebih 1,600 penduduk di sekurang-kurangnya tiga wilayah di pulau Luzon terpaksa dipindahkan.

Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina mengatakan ribut itu dikesan 315 km di sebelah barat daerah Cagayan di timur laut pulau Luzon, pada pukul 10 pagi waktu tempatan.

Biro itu mengatakan ribut berkenaan bergerak ke arah barat, barat laut dengan kelajuan 20 km per jam, dengan angin bertiup kencang 100 km hingga 125 km per jam.

Ia memberi amaran hujan lebat hingga sangat lebat dijangka berlaku di utara Filipina, seterusnya mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh.

Taufan dan ribut tropika kerap melanda Filipina, meragut ratusan nyawa dan menyebabkan kerugian berbilion-bilion dolar.

Terletak di Lingkaran Gunung Berapi Pasifik, Filipina adalah antara negara yang paling kerap dilanda bencana, termasuk gunung berapi aktif, gempa bumi yang kerap berlaku, dan purata 20 taufan setahun, menyebabkan banjir dan tanah runtuh. - BERNAMA

Advertisement