Anda di sini

Urus jenazah COVID-19, titip pengalaman bernilai tinggi

Advertisement
ANIAH (kiri), MOHAMAD MATASSIAN (kanan)
ANIAH (kiri), MOHAMAD MATASSIAN (kanan)

Berdepan waris, uji kekuatan emosi dan mental petugas pengurusan jenazah
 

Kehilangan orang tersayang terutama ahli keluarga bukanlah satu perkara yang mudah untuk diterima oleh seseorang apatah lagi pemergiannya terpaksa direlakan biarpun dalam keadaan diri belum bersedia.

Namun, kesedihan itu bukan sahaja membebani diri insan yang merasa kehilangan, malah mereka yang berdepan dan menyaksikan situasi berkenaan turut sama berkongsi emosi yang serupa.

Sejak penularan virus COVID-19 di seluruh dunia bermula awal tahun lepas, hampir setiap hari berita kematian akibat jangkitan virus berkenaan dilaporkan di negara ini.

Sabah antara negeri yang merekodkan jumlah kes COVID-19 tertinggi di seluruh negara hingga pernah mencapai jumlah lebih 3,000 kes sehari turut sama mencatatkan jumlah kes kematian yang tinggi.

Situasi penularan jangkitan yang agak drastik ini menyebabkan seluruh daerah di negeri ini merekodkan kes COVID-19 dan pada masa sama, kes kematian juga semakin hari semakin meningkat.

Di sebalik peningkatan kes kematian akibat COVID-19, masih ramai yang tidak mengetahui bagaimana pengurusan jenazah COVID-19 dikendalikan bermula dari pengesahan kematian hinggalah proses pengebumian selesai.

Berkongsi pengalaman mengendalikan jenazah COVID-19 yang beragama Islam sejak wabak terbabit mula menular di Sabah, Utusan Borneo berkesempatan bertemu dengan Ketua Unit Hal Ehwal Islam Hospital Queen Elizabeth (HQE) Aniah Olah, 40, yang bertanggungjawab dalam pengurusan jenazah COVID-19.

Beliau akui, banyak cabaran perlu dihadapi dalam menguruskan jenazah yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19, sama ada cabaran dari segi fizikal mahupun emosi, semuanya dititipkan sebagai satu pengalaman baharu yang tinggi nilainya.

 Jenazah COVID-19 disolatkan petugas dalam bilik khas.
SOLAT: Jenazah COVID-19 disolatkan petugas dalam bilik khas.

Ketika ditanya perkara yang paling sukar dalam menguruskan jenazah COVID-19, Aniah berkata, berdepan dengan waris jenazah antara situasi yang mencabar dan memerlukan kekuatan mental serta kawalan emosi yang stabil.

"Sebelum proses pengecaman dijalankan, saya perlu berjumpa dengan waris terlebih dahulu untuk penerangan mengenai proses pengurusan jenazah serta memberi sokongan emosi dan kerohanian kepada mereka.

"Namun ia bergantung kepada situasi memandangkan ada juga dalam kalangan waris yang tidak yakin hospital boleh menguruskan jenazah, lebih-lebih lagi jenazah COVID-19. 

"Sebaik sahaja saya perkenalkan diri dari Unit Hal Ehwal Islam, barulah mereka faham di hospital ada unit seperti kami yang bertanggungjawab menguruskan jenazah COVID-19," jelasnya.

Menurutnya, pernah berlaku waris jenazah memarahi mereka kerana menganggap hospital menguruskan jenazah COVID-19 secara sambil lewa tanpa ada prosedur yang betul.

"Inilah kuasa 'viral', hinggakan kejadian yang tidak berlaku di Malaysia pun orang akan anggap berlaku di sini. Justeru, persepsi waris sebelum datang ke hospital lagi sudah tidak betul dan mengakibatkan berlakunya salah faham.

"Apabila berdepan dengan situasi seperti ini, biasanya ayat pertama saya akan maklumkan kepada waris, peranan pihak kami untuk pastikan jenazah COVID-19 yang beragama Islam diuruskan mengikut hukum syarak.

"Selepas itu, barulah waris tenang sedikit dan kita juga faham ada waris yang menganggap staf hospital tidak tahu mengenai pengurusan mengikut hukum dalam Islam.

"Kemudian saya akan jelaskan semua petugas yang menguruskan jenazah COVID-19 di HQE melibatkan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang boleh mengendalikan solat dan mendoakan jenazah, barulah waris menunjukkan kelegaan," katanya.

 Kerja sanitasi yang dijalankan di tanah perkuburan.
SANITASI: Kerja sanitasi yang dijalankan di tanah perkuburan.

Beliau berkata, ada juga waris yang pada awalnya marah-marah hingga menuduh pihaknya sekadar 'baling-baling' jenazah tanpa menguruskan dengan baik.

Bagaimanapun katanya, selepas diberi penjelasan mengenai prosedur urus jenazah dari proses pengecaman, tayamum dan solat hingga selesai semua, barulah waris gembira sebaik nampak semua prosedur pengurusan yang dijalankan hospital.

Selain itu katanya, ada juga waris yang tidak boleh terima jenazah keluarga mereka diuruskan mengikut prosedur pengurusan jenazah COVID-19 hingga boleh menjadi kes polis.

"Inilah sebabnya unit kami memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk pasukan keselamatan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini dari berlaku.

"Sebaik sahaja proses pengurusan bermula, kami akan pastikan semua yang terlibat mesti sudah bersedia bagi mengelak tempoh pengurusan jenazah menjadi lebih lama.

"Antara situasi yang membuatkan kami terpaksa menunggu apabila ia melibatkan urusan tanah kubur. Contohnya, kami akan maklumkan waris yang jenazah mula diurus jam 10 pagi. Maknanya, jam 10 pagi kubur sudah mula digali," katanya.

Beliau berkata, ada waris yang datang namun masih tidak menguruskan hal berkaitan tanah kubur sedangkan pihaknya tidak mahu jenazah terpaksa menunggu lama di bahagian forensik akibat proses menggali kubur yang belum selesai.

Katanya, perkara itu bukan sahaja mengundang risiko kepada jenazah, malah ia juga mencabar fizikal pasukannya yang terpaksa memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dalam tempoh yang lebih lama.

Aniah berkata, selagi jenazah tidak boleh dikeluarkan, para petugas turut sama tidak boleh keluar dari bilik khas dan terpaksa menunggu di dalam bilik berkenaan.

"Bayangkan risiko kalau ada petugas yang perlu membuang air dan terpaksa menahan diri kerana tempoh yang lama untuk menunggu jenazah dikeluarkan.

"Kalau ada jenazah yang belum keluar tetapi ada jenazah lain yang perlu masuk, petugas turut terkandas di dalam kerana kami perlu pastikan jenazah betul-betul boleh keluar tanpa perlu masuk senarai menunggu.

"Ada juga kes, waris maklumkan tanah kubur sudah sedia, tetapi bila sampai di tanah perkuburan, semuanya masih belum selesai. Semua petugas terpaksa menunggu dalam van jenazah kerana jenazah tidak boleh dikeluarkan selagi kubur belum selesai digali," jelasnya.

Beliau berkata, situasi mencabar seperti itu menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan terutama dalam keadaan semua petugas berpakaian penuh PPE dan terpaksa menunggu dalam ruang van yang sempit sehingga tanah kubur siap digali.

 Petugas mengusung jenazah COVID-19 yang dibawa menggunakan bot melalui kawasan sungai.
USUNG: Petugas mengusung jenazah COVID-19 yang dibawa menggunakan bot melalui kawasan sungai.

Ditanya mengenai cabaran lain sepanjang mengendalikan jenazah COVID-19, Aniah menjelaskan, proses pengecaman antara situasi yang memerlukan kawalan emosi yang kuat terutama dalam menenangkan waris jenazah.

"Apabila waris perempuan yang buat pengecaman, saya perlu lebih bersedia kerana emosi perempuan sukar dijangka. Ada satu kes isteri yang buat pengecaman jenazah suami dan kami perlu bersedia untuk sebarang perkara yang akan berlaku memandangkan kami tidak boleh menyentuh waris bagi menjaga sebarang risiko.

"Namun bila sampai kes waris pitam semasa buat pengecaman, kami terpaksa bertindak memegang waris dan tenangkan dia, kalau tidak pun, kami hanya sediakan kerusi tanpa perlu menyentuh waris," katanya.

Menurutnya, ada kes yang paling menyentuh hatinya apabila waris yang sama perlu membuat pengecaman untuk tiga jenazah secara berturutan dalam tempoh selang seminggu.

Beliau berkata, mulanya waris berkenaan perlu membuat pengecaman untuk jenazah abangnya dan kedua jenazah ayahnya.

"Seperti biasa saya menjelaskan kepada waris untuk bagi sokongan emosi. Namun selepas jenazah ketiga waris buat pengecaman untuk ibunya, saya tidak tahu apa lagi yang perlu dijelaskan kepada waris berkenaan.

"Saya menjadi buntu untuk memikirkan apa lagi ayat memujuk yang patut saya kongsikan bagi membantu menenangkan emosi waris berkenaan.

"Syukurlah waris tenang dan mampu kawal emosinya dengan baik. Bagi kes ini, kami buat lawatan ke rumah waris untuk beri sokongan buat ahli keluarganya walaupun ini tidak termasuk dalam tanggungjawab tugasan kami," katanya.

Aniah berkata, proses pengecaman tidak mengambil masa yang lama dan hanya seorang sahaja waris dibenarkan masuk. Tetapi, ada juga kes bila suami yang meninggal dan kedua-dua isteri mahu buat pengecaman.

Justeru katanya, untuk kes seperti itu, pihaknya terpaksa mengggunakan budi bicara dengan berbincang bersama waris, sama ada siapa yang buat pengecaman terlebih dahulu atau kedua-duanya masuk bersama.

Menurutnya, ada juga waris yang minta izin untuk mengambil gambar dan video. Namun pihaknya terpaksa bertegas tidak memberi kebenaran untuk waris merekodkan gambar atau video memandangkan ia adalah prosedur HQE dan situasi berkenaan juga paling berat untuk mereka hadapi.

 Petugas barisan hadapan yang sentiasa bersedia bertugas secara sukarela.
PASUKAN: Petugas barisan hadapan yang sentiasa bersedia bertugas secara sukarela.

Berkongsi pengalaman yang hampir sama, seorang lagi petugas pengurusan jenazah COVID-19 HQE yang juga Pembantu Hal Ehwal Islam JAKIM Cawangan Sabah Mohamad Matassian Ogus, 33, menceritakan situasi mencabar yang perlu dihadapi bagi memastikan urusan jenazah COVID-19 berjalan dengan sebaiknya.

"Pengalaman pertama saya mula terlibat dalam pengurusan jenazah COVID-19 sekitar April tahun lepas bagi mewakili JAKIM untuk membantu HQE.

"Biarpun pada awalnya memang rasa bimbang sebab kita tahu virus ini bahaya. Namun bila memikirkan ini adalah tanggungjawab yang perlu dipikul, semua rasa risau dan bimbang saya ketepikan dan terus tawakal agar semuanya dilindungi.

"Paling kekok masa mula-mula memakai PPE sebab tidak selesa dan susah mahu bernafas terutama bila cuaca panas, memang betul-betul mencabar fizikal dan mental.

"Tetapi kena patuhi SOP biar dalam keadaan apa sekalipun sama ada hujan atau panas, tanggungjawab menguruskan jenazah COVID-19 perlu dibuat sehingga selesai sepenuhnya," katanya yang turut dibantu oleh beberapa petugas dari JAKIM.

Menurutnya, bermula Julai tahun ini, jumlah kes kematian COVID-19 semakin meningkat dan setiap hari pihaknya perlu mengendalikan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jenazah atau lebih dari itu.

Beliau berkata, setakat ini kebanyakan jenazah diuruskan pada waktu siang dan pernah sekali akibat terlajak masa, ada jenazah dikubur pada waktu malam.

Katanya, ada dua pasukan untuk urus jenazah COVID-19 di Kota Kinabalu dan kalau satu pasukan tidak cukup, pihaknya akan usahakan untuk saling membantu mana yang kurang petugas. Semua ini dilakukan secara sukarela dan siapa yang berkelapangan akan turun membantu menguruskan jenazah.

Selain itu jelasnya, pihak hospital juga tidak memaksa untuk mereka turun bertugas dan ia bergantung kepada individu itu sama ada rela atau tidak tapi memang mencabar dan letih sekiranya banyak kes yang perlu diuruskan.

"Biarpun saya bekerja ikut waktu pejabat, tapi selepas dilantik untuk bantu pengurusan jenazah COVID-19, pihak jabatan faham dan akan beri pelepasan untuk bertugas di luar.

"Pernah sebelum ini ada petugas yang disahkan positif COVID-19 dan ramai dalam kalangan pasukan kami terpaksa menjalani kuarantin seminggu.

"Masa itulah boleh dikatakan pasukan kami 'lumpuh' memandangkan ramai petugas tidak dapat turun menguruskan jenazah. Nasib baiklah ada pasukan dari Papar datang untuk menggantikan sementara tugas pengurusan jenazah di Kota Kinabalu," jelasnya.

 Jenazah COVID-19 yang dikebumikan pada waktu malam.
KEBUMI: Jenazah COVID-19 yang dikebumikan pada waktu malam.

Beliau berkata, sepanjang menguruskan jenazah, pernah juga terdetik rasa untuk mengalah terutama ketika terlalu penat. Namun melihat semangat dan kesungguhan rakan yang lain, cepat-cepat dilupakan perasaan sedemikian.

Menurutnya, terlibat dengan tugasan mengurus jenazah COVID-19 memerlukan seseorang itu sentiasa kuat, bukan sahaja dari segi fizikal malah mental dan emosi.

"Memang rasa letih, tapi bila tengok kawan semangat, kita pun ikut jadi semangat dan termotivasi dengan kawan-kawan semua. Justeru selagi diri masih ada kemampuan, saya akan terus berkhidmat melaksanakan tanggungjawab ini.

"Bagi menguruskan jenazah COVID-19, sekurang-kurangnya kita memerlukan tiga petugas terutama ketika mahu menurunkan jenazah ke dalam kubur.

"Kalau keadaan memerlukan, ada juga waris yang bantu ketika di tanah kubur walaupun tidak digalakkan, tapi mereka perlu memakai penuh PPE dan ikut SOP yang ditetapkan," katanya.

Beliau turut berkongsi antara pengalaman yang tidak dilupakan bila membabitkan jenazah suami dan isteri terpaksa membuat pengecaman dalam keadaan masih berpantang selepas bersalin.

Katanya, melihat pasangan muda yang terpaksa berpisah dalam keadaan isteri masih berpantang dan diminta membuat pengecaman jenazah suami, keadaan itu agak menyentuh hatinya.

Menurutnya, biar apa pun keadaan yang berlaku, pihaknya tidak mampu berbuat apa-apa melainkan berusaha untuk menenangkan waris.

Selain itu katanya, tempoh masa di tanah perkuburan juga bergantung kepada keadaan tanah. Jika tanah jenis pasir mudah urusannya sekitar setengah jam sahaja boleh selesai.

"Jika hujan dan tanah agak berlumpur, kadang-kadang kami boleh mengambil masa hampir satu jam untuk selesaikan urusan pengebumian jenazah," katanya.

Namun katanya, dalam apa juga keadaan yang perlu dihadapi, para petugas pengurusan jenazah COVID-19 tidak pernah patah semangat untuk meneruskan tanggungjawab yang dipikul bagi memastikan semua kes yang dikendalikan tidak tertangguh dan diselesaikan sebaiknya.

Kelancaran kerja pengurusan jenazah COVID-19 khususnya di HQE tidak akan terlaksana tanpa bantuan pihak lain yang sentiasa memberikan kerjasama baik sejak dari awal lagi.

Kerjasama dari pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta badan bukan kerajaan (NGO) banyak membantu tugas pengurusan jenazah COVID-19 untuk berjalan lancar.

Pasukan pengurusan jenazah COVID-19 (Islam) di HQE termasuklah Mohd. Kamar Daud, Mohd. Inamullah Yunus, Zaidi Karim, Janis @ Ahmad Jani Nawawi, Jefferdin Juddin, Rendra Ahmad, Mohd. Abdillah Matlin, Muhammad Abdu Abdu Rahman, Mohd. Ishak Mohd. Al-Fateh, Alkonudey Tawil, Mohd. Saiful Maki, Suratman Mohamad Sahat, Abd. Ghapar Sulaiman, Mohd. Firdaus Abdul Madi, Rozhan Yacob, Rais Japar, Maizatul Umira Hajree, Norbaniah Rusdi, Azmi Hadith, dan Persatuan Amal & Jariah Sabah.

Turut sama membantu, kakitangan HQE iaitu Nomewati Ibrahim, Mohd Arief Sadik dan Angela Julip.
 

  • oleh
  • Advertisement