Anda di sini

Penganjuran bola sepak bawah 18 tahun berupaya kenal pasti pemain berbakat : Kim Swee

Advertisement
 Azman (kiri) memberi penerangan kepada Kim Swee (tengah) sambil diperhatikan Lokman (kanan).
BINCANG: Azman (kiri) memberi penerangan kepada Kim Swee (tengah) sambil diperhatikan Lokman (kanan).



KOTA KINABALU: Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan penganjuran Kejohanan bola sepak Piala Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (Piala BMR) bawah 18 tahun berupaya mengenal pasti pemain-pemain muda berbakat yang boleh diserapkan dalam skuad Piala Belia.


Katanya, ia satu usaha baik yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) kerana dapat menggilap bakat pemain-pemain muda di negeri ini.


"Sudah tentu penganjuran kejohanan ini sangat baik dan ia tidak dilakukan di negeri-negeri lain," katanya selepas taklimat ringkas berhubung kejohanan itu oleh Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar di pejabat SAFA petang tadi (Isnin).


Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA memberi taklimat ringkas kepada Kim Swee bagi membolehkannya membantu panel jurulatih pemilih untuk melakukan tugasan mereka apabila grand final kejohanan diadakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.


Grand final itu membabitkan lapan pasukan zon yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan nanti.
Kim Swee berkata, pihaknya akan memberi kerjasama kepada panel jurulatih pemilih untuk membolehkan SAFA dapat memanfaatkan hasil kejohanan itu.


Katanya, melalui kejohanan remaja seperti ini akan memudahkan usaha untuk pembentukan skuad Piala Belia musim depan.


Azman juga memberitahu, usaha untuk menganjurkan kejohanan yang pertama kali dilakukan SAFA itu adalah sebagai memenuhi misi dan visi Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin untuk membangunkan sukan bola sepak di Sabah.


Katanya, selepas kejohanan Piala BMR itu, SAFA juga akan menganjurkan kejohanan lain yang dalam perancangan termasuk Kejohanan Piala Ketua Menteri yang akan dikenali sebagai 'Piala Sabah' supaya ia lebih menyeluruh.


"Biasanya sebelum ini ia dinamakan Piala Ketua Menteri namun kita akan buat perubahan sedikit dengan menamakan Piala Sabah namun ia akan tetap merebut piala yang disumbangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor," ujarnya.


Hadir sama dalam taklimat ringkas itu ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Lokman Sunggim.
 

  • oleh
  • Advertisement