KUALA LUMPUR: Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dan Deloitte Malaysia telah mengeluarkan laporan bersama berkongsi pendapat mereka mengenai keperluan reformasi cukai di Malaysia.
Dalam laporan bertajuk “Tax Reforms: The Way Forward for the Malaysian Tax System” (Reformasi Cukai: Langkah Ke Hadapan untuk Sistem Cukai di Malaysia), MICPA dan Deloitte Malaysia berkata ia bertujuan bagi memastikan Malaysia membentuk sistem cukai yang kukuh untuk membolehkan kerajaan terus mengutip hasil cukai yang diperlukannya untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
"Sistem cukai juga harus dianalisa berdasarkan apa yang terbaik untuk sistem cukai tersebut, apakah kaedah paling efisien untuk mengutip cukai dan meningkatkan kelangsungan hidup rakyat.
"Diharapkan cadangan dalam laporan ini akan dipertimbangkan oleh kerajaan dalam inisiatif reformasi cukainya kerana ia mencerminkan keperluan perniagaan sekarang dan keadaan ekonomi negara ketika ini.
“Cadangan itu sesuai dilaksanakan secara berperingkat pasca-COVID-19,” kata kenyataan tersebut.
Laporan itu merangkumi cadangan reformasi cukai di bahagian cukai korporat, cukai peribadi, cukai tidak langsung dan cukai-cukai lain.
Ia juga meliputi bahagian cukai antarabangsa melibatkan penyelarasan semula dengan piawaian cukai antarabangsa dan harga pemindahan serta bidang yang berkaitan dengan kelestarian alam sekitar.
Laporan itu juga merumuskan proses reformasi cukai yang digunapakai negara-negara lain.
Beberapa cadangan penting dirumuskan seperti berikut:
1) Cukai korporat - laporan itu menyatakan perkembangan insentif cukai di Malaysia, keberkesanannya, kesan yang timbul daripada insentif fiskal tersebut dan keperluan untuk menyelaraskan insentif cukai semasa untuk mengoptimumkan pulangan yang dihasilkan daripada faedah cukai yang diberikan kepada aktiviti ekonomi yang disasarkan
2) Cukai tidak langsung - laporan tersebut memberi cadangan supaya mempertimbangkan Malaysia memperluaskan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan mengembalikan Cukai barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh lima tahun akan datang serta menyemak semula perbezaan antara dua model cukai tersebut.
3) Kelestarian alam sekitar - laporan itu turut mencadangkan faedah mengenai cukai karbon dan mencadangkan beberapa pembaharuan insentif cukai hijau yang sudah dilaksanakan di beberapa negara maju di Eropah yang dapat digunakan di Malaysia.
Laporan tersebut boleh dilihat dengan melayari https://bit.ly/3oYyINP - BERNAMA