Anda di sini

Kerajaan perlu fokus beri insentif kepada industri semikonduktor untuk lakukan R&D

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menumpu untuk memberikan insentif kepada syarikat awam dan swasta agar mereka dapat menjalankan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memudahkan penjanaan idea untuk menambah baik industri semikonduktor di Malaysia, kata seorang ahli ekonomi.  

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia bagi bahagian daya saing kewangan dan inovasi Smita Kuriakose berkata memandangkan perniagaan kini semakin menerima pakai penggunaan teknologi digital, justeru, perlu ada kerjasama industri-penyelidikan yang efektif untuk meningkatkan pengkomersialan pindahan teknologi. 

"Perbelanjaan perniagaan ke atas R&D di Malaysia semakin menurun berdasarkan kepada data terbaharu yang kami ada sehingga 2018 yang mana ia merupakan satu yang bermasalah kerana kami mahu melihat lebih banyak R&D sektor swasta di peringkat nasional. 

"Apa yang kami lihat adalah lebih banyak penyelidikan gunaan dilakukan pada 2014 berbandiing 2018, bagaimanapun, penyelidikan gunaan perlu dipertingkat agar pengkomersialan R&D boleh dilaksanakan,” katanya. 

Kuriakose berkata demikian semasa perbincangan panel yang bertajuk "Can Malaysia re-invent itself into a global E&E Design and Development Centre?" pada Forum E&E Nasional Malaysia 2021 anjuran Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) yang diadakan secara maya, hari ini.

Menurutnya, memandangkan sasaran Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan usaha menambah baik sektor semikonduktor, R&D memerlukan usaha yang konsisten untuk menggalakkan perancangan strategik jangka panjang.

"Peranan kerajaan adalah untuk memudahkan penjanaan idea dan memberi insentif kepada penyelidik untuk menyelesaiakan masalah bagi industri,” katanya. 

Sementara itu, Kuriakose berkata permintaan terhadap kemahiran digital semakin meningkat di negara ini, namun kekurangan kemahiran kritikal masih berterusan dalam ekonomi Malaysia ekoran kekurangan buruh berkemahiran tinggi meskipun pengenalan dasar nasional IR4.0. 

"Ketika kita mengharungi pandemik, kita perlu memberi perhatian kepada lebih banyak kemahiran agar penawaran pekerja mahir di Malaysia dapat memenuhi permintaan sektor swasta.

"Ia kini menjadi semakin penting memandangkan tahap automasi dan pendigitalan semakin meningkat di seluruh dunia,” katanya. - BERNAMA

Advertisement