Anda di sini

34 maut akibat meminum arak buatan sendiri di Rusia

Advertisement

MOSCOW: Pihak berkuasa di tengah Rusia menyatakan kelmarin mereka menawarkan makanan sebagai pertukaran untuk alkohol, selepas 34 orang mati akibat meminum arak buatan sendiri yang mengandungi metanol yang sangat beracun.

Kematian tersebut adalah yang terbaharu di Rusia akibat pengambilan arak murah, satu masalah berterusan di sebuah negara di mana 21 juta orang hidup di bawah paras kemiskinan.

Di wilayah Orenburg, kira-kira 1,500 kilometer tenggara Moscow di selatan Urals, 67 orang telah jatuh sakit akibat pengambilan arak yang dicampuri dengan bahan larangan pada minggu lepas sahaja.

Seramai 34 orang maut, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan yang dipetik agensi berita TASS.

Ujian menunjukkan bahawa mangsa telah meminum arak yang mengandungi metanol yang amat berbahaya dan boleh menyebabkan buta walaupun dalam dos yang sangat kecil.

Dalam beberapa kes, kadar campuran dalam badan adalah tiga hingga lima kali lebih tinggi berbanding satu dos berbahaya.

Ketika jumlah arak bertoksik yang terjual tidak diketahui, pihak berkuasa di kawasan itu sedang menawarkan kepada penduduk di bahagian timur wilayah Orenburg barangan runcit dari pasar raya tempatan sebagai pertukaran bagi minuman beralkohol dengan kualiti yang meragukan, lapor Tass.

Harga barang makanan yang ditawarkan akan menjadi beberapa kali ganda nilai arak tersebut, menurut kepada kenyataan tersebut.

Menurut kepada polis Orenburg, ribuan botol arak yang disyaki beracun dirampas dari kedai dan gudang di wilayah tersebut.

Ujian menunjukkan kebanyakan arak tersebut mengandungi metanol berbahaya.

Jawatankuasa Siasatan bagi cawangan Orenburg, yang menyiasat jenayah-jenayah besar di Rusia, menyatakan 10 orang telah ditangkap berhubung kematian tersebut kerana menghasilkan minuman keras yang dicampur dengan bahan berbahaya.

Kematian muncul kurang setahun selepas tujuh orang di republik Yakutia di Timur Jauh Rusia maut pada November selepas meminum pensanitasi tangan yang dicairkan.

Tragedi paling besar berkaitan dengan arak buatan sendiri dalam rekod terkini adalah pada 2016, di mana puluhan maut di bandar Irkutsk di Siberia selepas meminum esen mandian yang mengandungi metanol, satu bahan beracun yang digunakan dalam antipembekuan.

Selepas kematian itu, jurucakap Kremlin menyatakan tragedi sedemikian memerlukan perhatian rapi.

Pihak berkuasa Rusia telah meningkatkan undang-undang sejak kematian akibat arak buatan sendiri pada 2016, namun penjualannya masih berleluasa. — AFP

Advertisement