Anda di sini

Pindaan RUU Langkah-Langkah sementara Pembiayaan COVID-19 dibentang kali kedua di Parlimen

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Rang undang-undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 yang bertujuan membiayai empat pakej bantuan dan rangsangan yang diumumkan kerajaan sejak awal tahun ini dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini. 

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan rang undang tersebut berkata pakej bantuan dan rangsangan yang merangkumi PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH memerlukan tambahan peruntukan sejumlah RM27 bilion. 

Katanya, pindaan RUU itu bagi memperoleh kelulusan untuk meningkatkan had siling perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19) daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion, serta peningkatan had hutang statutori daripada 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada 65 peratus yang bertujuan membiayai langkah seterusnya bagi tahun ini dan 2022 dalam memastikan momentum pemulihan negara dapat diteruskan.

"Berdasarkan kedudukan semasa KWC-19 Kementerian Kewangan mengunjurkan bahawa peruntukan tahun ini tidak mencukupi untuk membiayai pakej-pakej tersebut. 

"Ini kerana sejumlah RM60 bilion telah dibelanjakan, dan baki siling setakat hujung September 2021 adalah berjumlah RM5 bilion sahaja," katanya ketika membentangkan rang undang-undang tersebut. 

Tengku Zafrul berkata, mengambil kira keperluan tambahan tersebut, serta prestasi ekonomi dan had statutori hutang bagi tahun ini dan 2022, adalah wajar supaya Akta 830 dipinda untuk menampung peningkatan had siling KWC-19 kepada RM110 bilion.

Namun, dalam jangka masa sederhana, katanya, kerajaan masih komited terhadap langkah konsolidasi fiskal yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), dengan defisit disasarkan berkurang kepada 3.5 peratus berbanding KDNK menjelang 2025.

Beliau berkata RUU tersebut merangkumi tiga fasal yang termasuk anggaran perbelanjaan tambahan yang dipohon untuk diluluskan di bawah Fasal 3 RUU iaitu sebanyak RM45 bilion. 

Menurutnya, daripada jumlah RM45 bilion tersebut, ia dipecahkan kepada tujuh bahagian, iaitu RM12.7 bilion bagi menampung peruntukan tambahan Program Subsidi Upah daripada RM18.3 bilion kepada RM31 bilion melalui pakej PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH.

"Kedua, sebanyak RM15.8 bilion bagi menampung peruntukan tambahan Bantuan Prihatin Nasional daripada RM25.2 bilion kepada RM41 bilion, mengambil kira kelulusan rayuan serta peningkatan pemberian di bawah PEMERKASA dan PEMERKASA Tambahan.

"Ketiga, sebanyak RM2 bilion untuk meningkatkan peruntukan Projek Berskala Kecil bagi kontraktor kecil kelas G1 hingga G4 daripada RM4 bilion kepada RM6 bilion, selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi sekali gus menjana ekonomi negara," jelasnya. 

Sebanyak RM3.6 bilion juga diperlukan bagi penambahan peruntukan Geran PRIHATIN PKS daripada RM2.4 bilion kepada RM6 bilion; dan RM1 bilion bagi peningkatan had amaun bagi Pinjaman Mikro Kredit di bawah Bank Simpanan Nasional dan TEKUN Nasional, serta pindaan nama kepada Pinjaman Mikro Kredit berjumlah RM2 bilion.

Selain itu, RM4 bilion diperlukan untuk meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan bagi perbelanjaan berkaitan COVID-19 daripada RM5 bilion kepada RM9 bilion; dan RM5.9 bilion bagi meningkatkan sokongan bantuan sosial untuk golongan mudah terjejas daripada RM110 juta kepada RM6.01 bilion. 

RUU tersebut dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 28 Sept, 2021 di Dewan Rakyat oleh  Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah.

RUU berkenaan kemudiannya diluluskan sebulat suara tanpa pindaan di Dewan Rakyat selepas dibahas oleh 19 ahli Parlimen daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang. 

Tengku Zafrul ketika sesi penggulungan RUU tersebut bersetuju agar dasar fiskal perlu menyokong pemulihan ekonomi yang dirancang bagi tahun 2022.

“Kementerian Kewangan berhasrat untuk meneruskan pendirian dasar fiskal mengembang. Ini jelas ternyata dengan langkah kerajaan untuk meningkatkan had siling KWC-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion.

“Penambahan sebanyak RM45 bilion ini akan diutamakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin serta kelangsungan perniagaan terus disokong untuk merancakkan aktiviti ekonomi tahun depan dan terus dipacu pembukaan ekonomi secara menyeluruh sebelum hujung tahun ini,” katanya. - BERNAMA

Advertisement