Anda di sini

Perintah Berkurung baharu dilanjut hingga 27 Oktober

Advertisement
IDRIS
IDRIS

KOTA KINABALU: Perintah Berkurung baharu siri 172 (2021) mula berkuat kuasa selama 14 hari bermula 12 hingga 27 Oktober 2021.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, arahan itu dilaksanakan oleh Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 31(4) Akta Polis 1967 membabitkan tujuh kawasan perairan.

Katanya, ia termasuklah daerah Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.

"Dengan berkuatkuasanya Perintah Berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang diisytiharkan antara jam 6 petang sehingga jam 6 pagi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Perintah Berkurung di kawasan laut bertujuan memastikan kawasan perairan berkenaan tidak dicerobohi oleh pengganas yang mengancam keselamatan.

Menurutnya, arahan itu juga bagi menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan yang berada di daratan kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE). 

Idris berkata, ia turut memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap  pergerakan bot, menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada  pengusaha dan aktiviti-aktiviti perikanan.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di kawasan berkenaan untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti-aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan Perintah Berkurung yang mendesak," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement