Anda di sini

Ambank jangka kadar pengangguran susut kepada 4.4 peratus tahun ini

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Ambank Research menjangka kadar pengangguran Malaysia bagi tahun penuh 2021 akan berkurangan kepada 4.4 peratus daripada 4.8 peratus sebelum ini berikutan pasaran buruh yang terus pulih susulan pembukaan semula ekonomi meskipun pada tahap sederhana.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata keperluan untuk kekal berhati-hati perlu ada memandangkan ketidaktentuan berkaitan varian baharu virus COVID-19 dan prospek perniagaan yang boleh menjejaskan prospek pekerjaan.

“Terdapat keperluan untuk melihat semula segmen kurang pekerjaan dan mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal.

“Ia akan mengambil masa selama beberapa tahun, dijangka sekitar 2023 untuk negara mencapai kadar pengangguran seperti pada tahap pra-pandemik iaitu 3.3 peratus,” katanya menerusi nota penyelidikan hari ini.

Ambank Research berkata kadar pengangguran adalah semakin baik iaitu kepada 4.6 peratus pada Ogos berbanding 4.8 peratus pada Jun dan Julai, berkemungkinan disebabkan kelonggaran sekatan dan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat serta kadar vaksinasi yang tinggi, sekali gus membolehkan lebih banyak sektor beroperasi.

“Berikutan 90 peratus daripada penduduk dewasa telah divaksin, kami jangka ekonomi akan beralih kepada fasa endemik COVID-19 menjelang akhir bulan ini.

“Keadaan ini akan membolehkan lebih banyak sektor dibuka dengan mengamalkan norma baharu COVID-19, sekali gus memperkukuh pertumbuhan dan prospek pasaran buruh,” katanya.

Jumlah individu yang menganggur berkurangan kepada 748,800 pada Ogos dan jumlah individu yang bekerja meningkat sebanyak 81,800 menjadikannya kepada 15.38 juta orang, manakala nisbah pekerjaan kepada penduduk menokok kepada 65.2 peratus daripada 65 peratus pada Julai. - BERNAMA

Advertisement