Anda di sini

Turun tanpa tekanan, Qi Xuan kejutkan pemain di ranking tinggi

Advertisement
 

Daripada Vikneswaran Raman

AARHUS (Denmark): Turun ke gelanggang tanpa tekanan menjadi kunci kejayaan pemain perseorangan wanita negara Eoon Qi Xuan yang mencipta kejutan pada perlawanan pembukaan kumpulan D, Kejohanan Badminton Piala Uber pada Sabtu.

Biarpun jurang ranking 100 anak tangga di bawah, pemain berusia 20 tahun yang tewas 21-18 pada set pertama, bangkit mengejutkan lawannya Line Christophersen yang berada di ranking ke-23 dengan kemenangan 21-18, 21-15 untuk menyumbang mata pertama skuad negara.

Pemenang pingat perak Kejohanan Remaja Asia 2017 itu berkata beliau melangkah ke dalam gelanggang tanpa sebarang tekanan meskipun menyedari lawannya jauh lebih hebat dari segi ranking dengan Denmark sudah selesa mendahului 2-0 ketika itu.

“Sebelum main saya tidak fikir banyak, saya tidak harapkan apa-apa pun, hanya mahu buat yang terbaik. Ketika perlawanan ada rasa gementar kerana kita ketinggalan 2-0, tapi saya kekal bertenang, tapi saya rasa gembira kerana dapat sumbang satu mata.

“Ketika set kedua, berlaku kejar mata demi mata, saya tetap dapat pertahankan serangannya walaupun dia tinggi dan bolanya tajam. Saya sangat puas hati dengan kemenangan ini, dapat naikkan semangat untuk perlawanan seterusnya.

“Menentang China selepas ini, saya akan tetap lawan sahaja...Saya rasa saya kena kuatkan lagi semangat juang saya dalam gelanggang, kerana kadang-kadang apabila pihak lawan mengejar saya ketika saya berada di hadapan, saya rasa gementar,” katanya.

Pemain di rangking ke-12 dunia, Mia Blichfeldt meletakkan Denmark di hadapan selepas menewaskan S Kisona 21-11, 21-7, sebelum pasangan Maiken Fruergaard-Sara Thygesen mengecewakan pasangan Lee Meng Yean-M Thinaah 21-19, 10-21, 21-13 untuk mata kedua.

Qi Xuan merapatkan jurang apabila menyumbang satu mata, namun Denmark mengesahkan kemenangan selepas Amalie Magelund-Freja Ravn menundukkan Teoh Mei Xing-Yap Ling 21-13, 21-19 untuk mata ketiga dan Line Kjaersfeldt pula mengalahkan K Letshanaa 21-18, 21-14 dalam perlawanan terakhir.

Sementara itu, ketua pasukan Meng Yean yang digandingkan bersama Thinaah berikutan kecederaan bahu yang dialami Pearly Tan, berkata mereka perlu lebih konsisten ketika dalam gelanggang untuk menyaingi cabaran lawan.

“Pertukaran pasangan bukan perkara baharu buat kami kerana kami sentiasa bertukar-tukar gandingan ketika latihan. Kami gembira dengan permainan tapi banyak perlu diperbaiki.

“Apabila lawan mula bermain rali di set penentuan, kita kurang konsisten, saya rasa kita perlu perbaiki lagi perkara ini. Mengenai perlawanan menentang China, saya rasa semua perlu bersiap sedia untuk berjuang jika dipilih beraksi kelak,” katanya.

Menurut Kisona, lawannya berada dalam liga tersendiri berbanding dirinya dari segi pengalaman, namun cabaran sedemikian membuatkannya untuk bekerja lebih keras.

“Ini kali ketiga saya beraksi menentang pemain di kedudukan ranking 20 teratas dunia, semua lawan memang kuat dan saya ada benda perlu ditingkatkan lagi.

“Lawan saya akan datang semuanya lebih kuat daripada saya, perbezaan jauh lebih ketara. Saya baharu sahaja berada dalam kejohanan tertinggi seperti ini, ia perlukan masa untuk saya mencabar mereka tapi saya akan tunjukkan semangat juang tinggi ketika dalam gelanggang,” katanya.

Skuad wanita negara bakal berdepan cabaran sukar menentang China pada Ahad, 1.30 tengah hari waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia) dan melengkapkan aksi kumpulan D menentang Kanada pada 7 malam, Isnin waktu tempatan (Selasa, 1 pagi waktu Malaysia). - Bernama 

Advertisement