Anda di sini

Kemenangan ke atas Wales mampu baiki ranking negara

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kemenangan manis 4-3 dilakar skuad hoki lelaki kebangsaan ke atas Wales dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 semalam mampu membantu pasukannya untuk terus memperbaiki ranking dunia, menurut ketua jurulatih A. Arulselvaraj.

Skuad 'Speedy Tigers’ kini menghuni tangga ke-11 ranking dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

“Kekuatan pasukan negara adalah kelajuan dan kami akan membawa keyakinan yang ada ini untuk perlawanan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, Arulselvaraj dilihat kurang berpuas hati dengan disiplin ditampilkan skuadnya hingga menyaksikan beberapa pemain mengutip tiga kad hijau dan satu kad kuning.

Pada aksi semalam, pintu gol negara diuji apabila Wales terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelima menerusi pukulan strok oleh Joseph Naughalty sebelum pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim kembali mengikat kedudukan 1-1 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-14.

Skuad negara kembali di depan 2-1 pada minit ke-26 apabila Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi memanfaatkan kelebihan pukulan sudut penalti namun Wales menyamakan kedudukan pada minit ke-44 menerusi gol juga dari pukulan sudut penalti oleh Gareth Furlong.

Faizal Saari kemudian meletakkan Malaysia kembali di depan seminit kemudian menerusi gol padang dan terus melebarkan kedudukan apabila Shello Silverius menambah jaringan keempat, juga menerusi gol padang pada minit ke-54.

 Seakan perlawanan dilihat akan tamat dengan kedudukan 4-2, Wales yang dihadiahkan dengan pukulan strok tidak mensia-siakan kelebihan itu apabila Joseph menyumbat gol kedua peribadinya pada minit ke-60 untuk perlawanan tamat dengan keputusan akhir 4-3.

Arulselvaraj pada masa sama berkata mereka akan menilai kembali kesilapan dilakukan pasukannya dalam aksi menentang Wales dengan melakukan sesi analisis video selepas ini.

Sementara itu, Faizal bersyukur kerana telah kembali menemui prestasi sebenar beliau termasuk sentuhan untuk menjaringkan gol dalam perlawanan semalam yang disifatkannya satu pencapaian positif untuk dirinya.

Skuad kebangsaan sekali lagi akan berdepan Wales dalam perlawanan ujian keempat yang juga merupakan aksi kelapan mereka di United Kingdom, dijadual pada Rabu ini (13 Okt) pukul 3.15 pagi waktu Malaysia di Kelab Hoki Reading.

Dalam pada itu, Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan meraih kemenangan sulung selepas lima perlawanan dalam siri jelajah di sini apabila menumpaskan pasukan bawah 23 Wales dengan keputusan 2-1 semalam. - Bernama 

Advertisement