Anda di sini

Harimau Malaya kecundang lagi, tewas 1-5 kepada Uzbekistan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Malaysia menamatkan siri aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Jordan dengan satu lagi kekalahan besar selepas dibelasah Uzbekistan 5-1, malam tadi.

Skuad Harimau Malaya ternyata gagal mengimbangi tempo permainan pantas Uzbekistan yang kerap kali mengkucar-kacirkan barisan pertahanan sehingga mengakibatkan gawang negara bolos lima kali dalam perlawanan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan.

Hantaran dari pemain pertahanan, Farrukh Sayfiev hasil dari gerakan di sebelah kiri padang tidak disia-siakan Dostonbek Khamdamov yang melepaskan sepakan dari jarak dekat bagi meletakkan pasukan lawan di depan 1-0 pada minit ke-17.

Skuad kendalian jurulatih Slovenia, Srecko Katanec yang terus melancarkan serangan ke kubu pertahanan negara menggandakan jaringan apabila Dostonbek yang langsung tidak dikawal benteng terakhir pasukan kebangsaan menanduk masuk gol kedua peribadinya pada minit ke-29.

Empat minit kemudian, bahagian sebelah kiri skuad negara terus menjadi lubuk buat Uzbekistan apabila umpanan Farrukh pula disambut dengan tandukan Khusayin Norchaev bagi meletakkan mereka selesa di depan dengan kelebihan tiga gol tanpa balas.

Bagaimanapun, usaha skuad negara menekan Uzbekistan membuahkan hasil apabila bola sepakan Mohamad Faisal Abdul Halim yang terkena tiang kiri gawang lawan singgah di kaki pemain berpengalaman, Baddrol Bakhtiar untuk merembat masuk gol pertama negara pada masa kecederaan babak pertama.

Saingan di awal babak kedua pula menyaksikan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat bertindak cemerlang menghalang dua percubaan berbahaya Uzbekistan, masing-masing menerusi tandukan Otabek Shukurov pada minit ke-55 dan sepakan kencang penyerang kelab AS Roma, Eldor Shomurodov dua minit kemudian.

Namun, corak serangan pantas pasukan ke-84 dunia itu mengundang padah buat skuad negara apabila giliran pemain simpanan, Ibrokhimkhalil Yuldoshev, memanfaatkan lorongan mengelirukan kapten pasukan Jaloliddin Masharipov, untuk menghasilkan gol keempat negaranya pada minit ke-67.

Percubaan terbaik skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk menambah jaringan hadir pada minit ke-81 namun sepakan lencong Syafiq Ahmad tepat ke dakapan penjaga gol lawan sebelum Azizbek Amanov menolak masuk gol kelima Uzbekistan pada minit ke-88 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Rabu lepas, Malaysia yang menduduki ranking ke-154 tewas 0-4 kepada Jordan yang menghuni tangga ke-93 dunia pada aksi di Stadium King Abdullah II di Amman.

Skuad kebangsaan akan bersaing merebut kejuaraan Piala AFF 2020 yang dijadual berlangsung di Singapura pada Disember ini, sebelum menyambung misi memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023 pada pusingan ketiga kelayakan kempen itu tahun depan. - Bernama 

Advertisement