Anda di sini

Sektor agromakanan dijangka berkembang dalam RMK12

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

PUTRAJAYA: Sektor agromakanan dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan bakal meletakkan sektor ini antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam satu kenyataan hari ini berkata sektor pertanian diunjur berkembang 3.8 peratus setahun dalam tempoh RMK12 dan menyumbang tujuh peratus kepada KDNK negara menjelang 2025.

"Dalam tempoh pelaksanaan RMK12 juga, sektor pertanian akan dipergiat dengan menggunakan teknologi pintar untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara merentas semua subsektor agromakanan," katanya.

Inisiatif tersebut termasuklah kaedah pertanian berteknologi tinggi merangkumi analisis data raya (BDA), kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT) serta peralatan tepat seperti dron, robotik dan sensor di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), katanya. 

Ronald berkata kaedah pertanian pintar secara menegak dan tertutup akan diperluas dengan memanfaatkan tanah sedia ada dan bangunan terbiar.

“Melangkah ke hadapan, para petani akan digalakkan untuk menerima pakai amalan pertanian organik untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah terhadap produk organik dan menjana pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam bidang perikanan tangkapan pula, Ronald berkata pihak koperasi dan persatuan akan digalakkan menceburi aktiviti perikanan laut dalam dan laut lepas dengan menggunakan kapal moden serta peralatan inovatif bagi meningkatkan hasil dan daya saing serta menggalakkan industri perikanan yang mampan.

Beliau berkata bidang ternakan  akan diberi fokus dengan matlamat meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan keselamatan makanan melalui amalan penternakan baik dan moden.

Bagi menggalakkan pemodenan dalam sektor pertanian, beliau berkata mekanisme pembiayaan dan struktur insentif baharu akan diperkenal untuk mempercepat pembangunan industri berpotensi tinggi, terutama bagi menerima guna teknologi Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) .

Ronald berkata dana pertanian pintar yang khusus itu akan diwujudkan untuk mempercepat penerimagunaan teknologi moden dalam sektor pertanian dan akan menyediakan peluang kepada petani terutama agropreneur muda untuk memodenkan aktiviti pertanian di sepanjang rantaian nilai.

“Inisiatif ini akan menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menghasilkan lebih banyak produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi,” katanya sambil menambah ia juga akan menangani isu sekuriti makanan dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing berkemahiran rendah.

Ronald berkata petani, koperasi, persatuan serta industri pertengahan dan hiliran akan turut digalakkan untuk memanfaatkan platform e-dagang bagi meningkatkan pemasaran hasil pertanian bagi mengurangkan kebergantungan yang berlebihan kepada orang tengah.

“Platform ini juga akan membuka peluang kepada penyumberan luar (outsourcing) perkhidmatan jentera dan peralatan perladangan bagi memanfaatkan sepenuhnya sumber dan mencapai kecekapan kos,” katanya.

Beliau berkata kemahiran tenaga kerja melibatkan golongan belia akan dipertingkat melalui semakan semula kurikulum dan modul latihan untuk mewujudkan tenaga kerja yang kompeten bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyambut baik penekanan aspek sekuriti makanan yang telah diberikan keutamaan sewajarnya dalam RMK12 yang diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada Khamis lepas.

Katanya ia dapat meningkatkan keupayaan sektor agromakanan sebagai suatu sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti makanan negara.

“Elemen jaminan sekuriti makanan merupakan keutamaan kementerian untuk tempoh lima tahun akan datang dalam usaha meningkatkan ketersediaan makanan negara,” katanya. 

Ronald berkata strategi dan inisiatif di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 akan terus dilaksana bagi mencapai sasaran tahap sekuriti makanan dan mematuhi standard keselamatan makanan antarabangsa.

Beliau berkata MAFI komited melaksanakan semua strategi yang telah digariskan di bawah RMK12 bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam mencorak semula masa hadapan negara selaras dengan matlamat kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030. - BERNAMA
 

Advertisement