Anda di sini

Sektor pengembaraan, pelancongan global disasar tumbuh 30.7 peratus tahun ini

Advertisement
Kakitangan Kampung Budaya Sarawak, Azriq Azwan Abdillah melakukan proses sanitasi COVID-19 di dalam rumah panjang Iban di Kampung Budaya Sarawak sebagai persiapan sebelum menyambut ketibaan pelancong pada Oktober ini. -Gambar Bernama
Kakitangan Kampung Budaya Sarawak, Azriq Azwan Abdillah melakukan proses sanitasi COVID-19 di dalam rumah panjang Iban di Kampung Budaya Sarawak sebagai persiapan sebelum menyambut ketibaan pelancong pada Oktober ini. -Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sektor pengembaraan dan pelancongan dunia dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak 30.7 peratus tahun ini, didorong terutamanya oleh perbelanjaan di peringkat domestik.

Menurut Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia (WTTC), pemulihan sektor terbabit bagaimanapun dijangka kekal perlahan berikutan kekurangan penyelarasan di peringkat antarabangsa, sekatan perjalanan yang ketara serta tahap pemberian vaksin COVID-19 yang masih berkurangan di beberapa bahagian dunia.

“Walaupun ekonomi global dijangka menerima sumbangan dalam bentuk peningkatan sederhana 30.7 peratus daripada aktiviti pengembaraan dan pelancongan bagi tahun ini, jumlah itu hanya mewakili nilai sebanyak US$1.4 trilion (US$1=RM4.18),” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut WTTC, sektor pengembaraan dan pelancongan terbukti menjana hampir US$9.2 trilion kepada ekonomi global pada 2019 namun pandemik pada 2020 telah menyebabkan aktiviti berkaitan hampir terhenti dengan penyusutan sebanyak 49.1 peratus atau menyebabkan kerugian berjumlah hampir US$4.5 trilion.

“Pada tahun lepas, WTTC telah mendedahkan kehilangan besar sejumlah 62 juta pekerjaan dalam sektor itu di serata dunia. Jika berdasarkan tahap pemulihan semasa, jumlah pekerjaan itu dijangka meningkat hanya 0.7 peratus tahun ini,” katanya.

Kajian juga menunjukkan sumbangan industri kepada ekonomi global dijangka mencatat peningkatan serupa sebanyak 31.7 peratus tahun ke tahun pada 2022 dengan kadar pemulihan semasa dan potensi pekerjaan meningkat 18 peratus di serata sektor pada tahun depan.

WTTC juga menyarankan kepada kerajaan di serata dunia untuk membenarkan pengembara yang telah mendapat vaksin lengkap untuk melakukan pergerakan secara bebas, tanpa mengambil kira negara asal atau destinasi mereka selain menghapuskan sistem berperingkat yang kompleks bagi membolehkan sektor itu dapat menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global serta meningkatkan jumlah pekerjaan.

“Kerajaan-kerajaan terbabit juga perlu melaksanakan penyelesaian digital yang membolehkan semua pengembara membuktikan status COVID mereka dengan mudah, sekali gus mempercepat proses di sempadan dan mengiktiraf semua vaksin yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan mana-mana Pihak Berkuasa Kawal Selia Ketat (SRA),” katanya.

Selain itu, WTTC turut mencadangkan supaya satu perjanjian melibatkan semua pihak berwajib diwujudkan dengan menyatakan bahawa perjalanan antarabangsa adalah selamat dan berserta protokol kesihatan dan keselamatan yang dipertingkat.

Menurutnya, data menunjukkan jika semua ketetapan itu dipatuhi sebelum akhir 2021, ini dapat memberi impak besar ke atas ekonomi global dan aspek pekerjaan.

Malah, sumbangan sektor tersebut ke atas ekonomi global mampu melonjak sebanyak 37.5 peratus dan mencecah US$6.4 trilion tahun ini berbanding US$4.7 trilion pada 2020.

WTTC berkata masih terdapat harapan untuk kerajaan-kerajaan mengembalikan hampir 19 juta pekerjaan sebelum akhir tahun ini sekiranya langkah menarik balik sekatan pergerakan dilaksanakan menerusi kerjasama di peringkat antarabangsa.

“Aliran itu akan berterusan sehingga ke tahun depan apabila sumbangan sektor pengembaraan dan pelancongan kepada ekonomi global dapat mencatat peningkatan 34 peratus tahun ke tahun yang mencecah US$8.6 trilion dan menghampiri angka pada 2019 iaitu tahun rekod bagi sektor itu.

“Pada masa sama, jumlah pekerjaan juga boleh melepasi paras 2019 iaitu meningkat 20.1 peratus tahun ke tahun kepada lebih 349 juta,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement