Anda di sini

Bank Islam disenarai di Bursa Malaysia

Advertisement
Muazzam menyaksikan pemulaan dagangan saham Bank Islam.
Muazzam menyaksikan pemulaan dagangan saham Bank Islam.

KUALA LUMPUR: Bank patuh Syariah perintis, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melakar sejarahnya yang tersendiri dalam industri perbankan Islam di Malaysia apabila menjadi institusi perbankan Islam tulen dan lengkap yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia semalam melalui pengambilalihan status penyenaraian daripada BIMB Holdings Berhad (BHB).

Penyenaraian ini menandakan muktamadnya langkah penstrukturan semula Kumpulan BHB yang meliputi langkah tawaran persendirian, skim pengaturan bagi melunaskan waran tertunggak dan penyusunan semula dalaman anak-anak syarikat.

Langkah-langkah penjajaran semula dalaman ini turut meliputi pengagihan dan pembayaran semula modal yang melibatkan pengagihan semula semua pegangan BHB dalam Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia), kepada pemegang saham BHB, seterusnya, pemindahan status penyenaraian BHB di Pasaran Utama Bursa Malaysia kepada Bank Islam.

Pada masa sama, BHB akan menjadi anak syarikat milik penuh Bank Islam, dengan Bank mengambil peranan sebagai syarikat induk. Langkah ini juga menjadikan Takaful Malaysia sebagai syarikat pengendali Takaful kendiri dengan pemegang saham institusi yang pelbagai dan kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutif BHB dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata, Bank Islam akan diberikan autonomi penuh dalam menjalankan dan meneruskan strategi korporat dan perniagaannya serta menerapkan inisiatif pengurusan modal dengan muktamadnya langkah korporat ini.

“Melalui penyenaraian ini, Bank Islam mempunyai akses kepada sumber modal yang lebih luas dan pelbagai, membolehkan penggunaannya untuk menyokong program pengembangan dan pertumbuhan perniagaan di masa hadapan dengan cekap.

“Di samping itu, Kumpulan akan mempunyai skala dan keupayaan yang lebih besar untuk menyokong pertumbuhan organik,”katanya dalam satu kenyataan media.

 Muazzam berkata, penyenaraian ini membuka peluang kepada pelabur untuk terlibat secara langsung dalam pertumbuhan ekuiti dan masa hadapan Kumpulan Bank Islam baharu, yang meliputi BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) dan BIMB Securities Sdn Bhd (BIMB Securities).

“Melalui pendekatan bersinergi dan holistik, Bank Islam berhasrat untuk berada di kedudukan utama dalam menawarkan penyelesaian kewangan lengkap Syariah-ESG dengan menerajui perbankan digital dan kewangan sosial menjelang 2025,” katanya.

Penyenaraian ini akan turut memberi kedudukan yang menguntungkan buat Bank Islam dalam memanfaatkan pertumbuhan kewangan Islam dan pasaran modal Islam, sejajar dengan usaha untuk mengembangkan asas pelanggan Bank.

Melalui jangkaan modal pasaran sebanyak RM6.3 bilion, Bank Islam kini memulakan strategi pelan perniagaan lima tahun dikenali sebagai LEAP25 yang menjanjikan penggunaan teknologi, merancang semula pertumbuhan dan beroperasi dalam norma baharu bagi mengatasi cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

Bank Islam juga akan meneruskan hala tuju perniagaannya ke arah mencapai matlamat LEAP25 melalui lima pemacu perniagaan: Kewangan Sosial, Pengurusan Kekayaan, Perusahaan dan Perbankan Borong serta Bank Digital.

Bank Islam juga akan terus menyediakan sokongan dan sumbangan ke arah menjana semula ekonomi Malaysia, khususnya pasca pandemik, serta merancakkan lagi pembangunan dan pertumbuhan kewangan Islam dan industri perbankan dalam era kemajuan teknologi.

Muazzam berkata, pihaknya menerima sambutan luar biasa dan permintaan kukuh daripada pelabur runcit dan institusi, domestik dan antarabangsa, termasuk beberapa nama besar dalam komuniti pelaburan.

“Bagi pihak Kumpulan Bank Islam, saya mengalu-alukan  semua pemegang saham dan pelabur agar terus bersama kami melangkah ke masa hadapan yang lebih baik untuk Bank Islam dan seterusnya memangkin pertumbuhan pasaran ekuiti Islam dalam negara dan rantau ini.

“Kami berharap dapat meningkatkan penarafan dan penilaian untuk Kumpulan Bank Islam yang baharu,”katanya.

Bank Islam juga komited mencapai visi sebagai sebuah Bank yang Mendahulukan Kemakmuran untuk Semua, cabang Kewangan Sosialnya, Pusat Kewangan Sosial, akan meneruskan fungsi untuk meningkatkan peranan dan manfaat instrumen kewangan sosial Islam.

Pada masa sama, Bank Islam akan menggunakan Sedekah, Zakat dan Wakaf untuk membantu golongan rentan, kurang atau tidak mendapat perkhidmatan perbankan yang amat diperlukan.

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berperanan sebagai Penasihat Utama dalam pelaksanaan penyusunan semula BHB.
 

  • oleh
  • Advertisement