Anda di sini

'Saya Mau Jadi Hero' lagu baharu Jimmy Palikat

Advertisement
 Jimmy Palikat kembali ke persada seni dengan lagu baharu Saya Mau jadi Hero.
KEMBALI: Jimmy Palikat kembali ke persada seni dengan lagu baharu Saya Mau jadi Hero.

KOTA KINABALU: Selepas lagu Anak Kampung menempah kejayaan hebat di seluruh negara pada 2011, kemudian lagu Auss tahun lepas, penyanyi terkenal Sabah Jimmy Palikat kembali ke persada seni suara dengan lagu baharu berjudul 'Saya Mau Jadi Hero'.

Jimmy sebelum ini terlibat dalam dunia politik kini membawa tekad untuk mewarnai kembali kemeriahan dunia seni lagu Sabah menerusi sebuah lagi lagu yang rancak dan menarik.

Lagu 'catchy' yang berentak Sumazau ini dihasilkan dalam rentak pop rock dan dicipta sepenuhnya oleh komposer dan penulis lirik yang tidak asing lagi iaitu Roslee Wahid.

Roslee kebiasaannya sebelum ini hanya mencipta karya muzik kepada seorang penyanyi tetap sahaja. Namun, kini beliau turut mengorak langkah baharu dan lebih agresif dengan mula mencipta lagu-lagu baharu untuk artis-artis Sabah yang lain.

Beliau berkata, sebaik saja selesai proses rakaman pada pertengahan tahun ini, lagu Saya Mau Jadi Hero disimpan sementara bagi menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan.

 Roslee bakal memimpin persembahan orkestra sempena Konsert ROK.
ORKESTRA: Roslee bakal memimpin persembahan orkestra sempena Konsert ROK.

"23 Oktober ini akan menjadi tarikh keramat kerana lagu Saya Mau Jadi Hero bakal dipersembahkan buat julung kalinya di Konsert Rhythm of Kinabalu (ROK) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah.
 
"Konsert ini akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook JKKN TV dan ia turut menampilkan artis-artis terkenal Sabah seperti Francis Landong, Dyana dan Fauziah Gambus serta penampilan istimewa Orkestra ASTiF Universiti Malaysia Sabah (UMS)," katanya dalam kenyataan di sini.

Roslee yang juga Pensyarah Seni Muzik Program Muzik UMS  akan menjadi konduktor bagi mempimpin konsert berkenaan nanti.

Beliau bersama Jimmy berasa sangat bertuah dan bersyukur apabila lagu Saya Mau Jadi Hero dipilih untuk menjadi salah satu lagu 'Sabah style' yang bakal dipersembahkan dalam bentuk gubahan baharu bersama orkestra.

Katanya, konsert itu juga bakal menampilkan lagu-lagu dari pelbagai suku kaum dan alat muzik etnik Sabah.
 
Roslee berkata, gabungannya bersama Jimmy bakal membawa peminat seni lagu Sabah untuk menikmati satu lagi hasil karya seni terbaik dan menarik dalam industri seni muzik Sabah.

"Semoga kejayaan lagu Anak Kampung yang masih 'panas' hingga kini turut dirasai oleh lagu baharu Saya Mau Jadi Hero ini," jelasnya.

Sementara itu, Jimmy berkata, lagu baharu itu sangat istimewa di hatinya terutama apabila diberi peluang untuk menyanyikan lagu berkenaan.

"Saya biasanya hanya membuat single lagu yang saya cipta dan tulis liriknya. Apabila saya diberikan penghormatan untuk mendengar lagu Saya Mau Jadi Hero ini, terus saya jatuh hati dan ingin diberi peluang untuk menyanyikan lagu ini.

"Lagu yang rentak dan konsep begini memang sinonim dengan saya. Justeru, saya boleh bayangkan membuat persembahan dan menyanyikan lagu ini nanti.

"Liriknya pun sungguh menarik, berbentuk kekeluargaan dan nasihat. Terbaik...Syukurlah kami berdua dapat juga berganding dan bekerjasama sehingga lagu ini akhirnya siap sepenuhnya," katanya. 

Beliau turut menyimpan cita-cita tinggi untuk lagu Saya Mau Jadi Hero dan berbesar hati diberi peluang mempersembahkan lagu berkenaan pada Konsert ROK bersama orkestra buat julung kalinya.

Jimmy berharap, lagu Saya Mau Jadi Hero mendapat tempat istimewa di hati para peminatnya dan juga rakyat Malaysia.
 

  • oleh
  • Advertisement