Anda di sini

Penggiat penerbangan harap Bajet 2022 meliputi pakej bantuan kepada pemulihan industri

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Penggiat industri penerbangan berharap kerajaan akan mempertimbangkan pelbagai pakej bantuan dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan bagi menyokong pemulihan perjalanan udara dan operator pelancongan.

Sebagai satu daripada industri yang paling terjejas semasa pandemik COVID-19, sokongan kukuh daripada kerajaan seperti pengecualian cukai, kos perjalanan lebih rendah, dan strategi pekerjaan adalah penting untuk memulihkan semula keseluruhan ekosistem, demikian menurut Malaysia Aviation Group (MAG), AirAsia Group dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

MAG berharap Bajet 2022 akan merangkumi pengecualian atau penangguhan bayaran cukai, levi atau caj daripada kerajaan dan pihak berkuasa kawal selia tanpa dikenakan faedah atau penalti sehingga 31 Disember 2022.

“Langkah ini akan membantu meringankan aliran tunai syarikat penerbangan,” menurut Malaysia Airlines kepada Bernama.

Pada masa ini, syarikat penerbangan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan, Levi Berlepas Malaysia, Caj Perkhidmatan Pengawalseliaan dan Caj Perkhidmatan Penumpang.

MAG turut berharap kerajaan akan mempertimbangkan pelanjutan had masa bagi kerugian cukai yang belum digunakan melebihi tempoh semasa tujuh tahun ekoran impak pandemik yang berpanjangan dan kelonggaran syarat pelepasan kumpulan.

Menerusi syarat pelepasan kumpulan yang diperketatkan, hanya syarikat baru diperbadankan dibenarkan untuk berkongsi kerugian tahun semasa mereka kepada entiti yang berkaitan, sehingga tempoh tiga tahun.

“Berikutan pandemik, terdapat kerugian yang signifikan dalam industri pelancongan dan kebanyakan perniagaan telah mengalihkan tumpuan mereka kepada bidang yang lebih memberangsangkan semasa kawalan pergerakan untuk menyokong seluruh kumpulan dari segi kewangan.

“Kelonggaran syarat pelepasan kumpulan akan membantu meringankan beban syarikat kumpulan yang masih bergelut untuk mencatatkan keuntungan,” kata MAG sambil memaklumkan pengecualian sementara bagi cukai hotel dan cukai berkaitan pelancongan juga perlu dipertimbangkan untuk membantu membuka dan merancakkan kembali industri pelancongan domestik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berharap Bajet 2022 akan merangkumi langkah atau insentif untuk mengurangkan kos perjalanan dan perniagaan, masing-masing kepada pengembara dan syarikat.

Beliau berkata kerajaan juga perlu mempertimbangkan kenaikan pendapatan boleh guna Keluarga Malaysia untuk menggalakkan pelancongan dan perbelanjaan domestik, menarik kedatangan lebih ramai pelancong dan menggalakkan perbelanjaan yang lebih tinggi daripada warga asing dan mempermudah pelancongan yang selamat ketika pandemik.

“Menyentuh mengenai pekerjaan, AirAsia berharap keutamaan akan diberikan untuk mengekalkan pekerjaan rakyat Malaysia dan meningkatkan kemahiran dalam era digital baharu.

“Ini merangkumi sokongan untuk memperkukuh tenaga kerja dengan bakat dan infrastruktur bersesuaian, meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula kumpulan bakat, mendorong pelaburan baharu untuk mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi dan pelaburan insentif dalam ruang digital untuk merangsang pertumbuhan pekerjaan baharu,” katanya.

MAHB pula berharap Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang akan dilaksanakan di bawah Bajet 2022, memandangkan ekosistem penerbangan yang dirancang itu dijangka menjana output ekonomi melebihi RM10 bilion pada tempoh kematangan negara.

Memperkukuh kedudukan Lapangan Terbang Subang sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), agregator alat dan komponen aeroangkasa yang menjadi pilihan bagi pemasangan dan eksport akhir ke Amerika Syarikat dan Eropah akan turut menyumbang 30 hingga 50 peratus kepada hasil negara menjelang 2030.

“Pelan ini bukan sahaja akan menarik penggiat global dalam tempoh lima tahun akan datang, malah, memberi persediaan kepada penggiat tempatan sebagai syarikat yang bersedia terhadap Revolusi Perindustrian Keempat dengan akses kepada teknologi terkini dan keperluan yang memenuhi standard antarabangsa,” tambahnya.

Bajet 2022 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober 2021. - BERNAMA
 

Advertisement