Anda di sini

Kebebasan memilih tidak divaksinasi bukan bererti bebas daripada akibat

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Malaysia semakin menghampiri sasaran 80 peratus penduduknya diberikan imunisasi COVID-19, dan pada masa sama juga kumpulan antivaksin kian lantang menyuarakan rasa marah dan tidak puas hati mereka.

Jika sebelum ini media sosial menjadi platform penyebaran agenda mereka, kini kelompok itu beralih ke saluran lain yang dilihat lebih berkuasa. Mahkamah. 

Apabila kerajaan melaksanakan langkah lebih tegas dengan mewajibkan vaksinasi sebagai syarat pekerjaan, ada antara penentang vaksin ini memetik peruntukan perlembagaan negara bahawa tindakan itu mencabul hak asasi mereka, iaitu kebebasan memutuskan hal-hal berkaitan perubatan mereka.

Lihat saja pada tindakan seorang anggota tentera yang memfailkan saman terhadap Angkatan Tentera Malaysia atas alasan diskriminasi, selepas dia dipecat kerana ingkar arahan pada Ogos lalu apabila enggan divaksinasi untuk COVID-19.

Hakikatnya, ramai yang tidak faham bahawa kebebasan untuk memilih tidak bermakna mereka bebas daripada akibat susulan keputusan yang mereka ambil, kata pakar. 

KONTRAK SOSIAL

Pakar perundangan Prof Dr Haidar Dziyauddin memberitahu Bernama bahawa golongan antivaksin perlu sedar bahawa mereka tinggal dalam sebuah masyarakat, dan situasi ini menuntut mereka bertindak dengan mengambil kira tanggungjawab mereka terhadap komuniti.

“Mereka ada hak untuk memilih. Jika mereka memilih untuk tidak divaksinasi, mereka perlu faham bahawa mereka bukan hidup bersendirian. Mereka tinggal bersama orang lain. Mereka perlu berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain.

“Jika mereka memilih untuk tidak divaksinasi atas alasan itu hak peribadi mereka, maka mereka perlu ingat orang lain juga ada hak masing-masing,” katanya.

Pandangan itu turut dipersetujui pakar epidemiologi Datuk Dr Zainal Ariffin Omar yang berkata hanya mereka dengan masalah kesihatan yang serius wajar dikecualikan daripada divaksinasi.

“Jika anda tidak ada alasan kukuh, tetapi hanya semata-mata kerana tidak mahu menerima (vaksin), saya rasa anda perlu terima nasib diri dipulaukan dan dinafikan (kebebasan menerusi pasport vaksin) yang kita nikmati sekarang - atau apa juga akibat lain,” katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata wajib vaksinasi dilaksanakan menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. 

Bagaimanapun undang-undang itu mempunyai kelemahan, kata Haidar.

Contohnya Bahagian IV, Seksyen 11 (3) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang memperuntukkan pihak berkuasa kesihatan mempunyai kuasa mengawal penularan penyakit menerusi imunisasi di “kawasan tempatan yang dijangkiti”.

Sehubungan itu katanya, adalah lebih baik jika kerajaan meluluskan undang-undang khusus mewajibkan penerimaan vaksin memandangkan takrifan terhadap undang-undang sedia ada terlalu luas.

Menurutnya, selagi Malaysia tidak menguatkuasakan undang-undang khusus mewajibkan vaksinasi bagi keadaan-keadaan tertentu, kerajaan harus bersedia menghadapi lebih banyak tindakan perundangan mencabar keputusan itu.

Bagaimanapun beliau berpandangan mahkamah tidak mungkin memihak kepada golongan antivaksin tersebut kerana institusi berkenaan lazimnya mengutamakan kepentingan awam berbanding hak perseorangan.

“Hak yang ada pada kita tidak mutlak. Apabila kita berkata saya boleh menggunakan hak saya sampai tahap, bila mana saya gunakan hak saya itu ada orang lain boleh gunakan hak mereka, maka pada ketika itu hak peribadi saya akan berakhir,” katanya.

Dalam kata lain, seperti petikan “Your liberty to swing your fist ends at my nose” - yang diutarakan sama ada oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Abraham Lincoln atau bekas Hakim Mahkamah Agung AS Oliver Wendell Holmes yang secara harfiahnya diterjemah “kebebasan anda menghayunkan penumbuk berakhir di hidung saya,” merumuskan kebebasan perseorangan tidak harus mengganggu hak orang lain.

Dr Zainal pula menyifatkan pelaksanaan undang-undang mewajibkan vaksinasi sama seperti penguatkuasaan akta berkaitan merokok di tempat awam dan pemakaian tali pinggang keledar.

“Ini bukan sesuatu yang baharu. Perokok tidak boleh merokok di sesetengah restauran. Anda tidak boleh merokok di pejabat. Jadi sama sahaja, kerana merokok berbahaya kepada anda dan kepada orang lain,” jelasnya.

REALISASIKAN KEBIASAAN BAHARU

Selepas berbulan-bulan menggalakkan masyarakat mendaftar untuk divaksinasi, menjanjikan beberapa keistimewaan termasuk kembali kepada kehidupan yang lebih normal, kerajaan mewajibkan vaksinasi ke atas penjawat awam persekutuan selepas pendaftaran terhenti pada awal September. Mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang menghalang mereka daripada menerima suntikan vaksin dikecualikan. 

“Kita dah sampai tahap di mana lebih banyak vaksin daripada manusia, daripada lengan,” kata Khairy dalam sidang media pada 19 September lepas.

Setakat 30 September lepas, hampir 17,000 kakitangan awam didapati tidak mendaftar untuk divaksinasi, manakala setakat 5 Oktober lalu, lebih 1.3 juta orang dewasa di Malaysia belum menerima suntikan vaksin COVID-19, kebanyakan daripada mereka juga tidak mendaftar.

Kemungkinan besar maklumat salah yang disebarkan oleh kumpulan antivaksin adalah punca mereka yang berkenaan keberatan untuk divaksinasi. Para doktor juga percaya pengaruh kelompok itu menular di kebanyakan kawasan di Malaysia berikutan sebahagian besar golongan muda yang dimasukkan ke hospital seperti Hospital Tengku Ampuan Rahimah kerana jangkitan COVID-19 yang teruk atau sederhana teruk, tidak divaksinasi sekalipun vaksin tersedia di seluruh negara.

Pakar kesihatan awam bersetuju langkah mewajibkan vaksinasi akan berjaya berdasarkan data daripada AS. Syarikat besar seperti United Airlines dan Delta Airlines melaporkan kadar pemvaksinan hampir 100 peratus selepas mewajibkan vaksinasi.

Di Malaysia, kajian menunjukkan ahli masyarakat lebih suka mempunyai tenaga kerja yang lengkap dos vaksin dengan 73 peratus responden menyatakan mereka berasa tidak selamat untuk berkongsi ruang kerja dengan rakan sekerja yang tidak divaksinasi.

Dr Zainal yang juga  Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, berkata mewajibkan vaksinasi merupakan jalan yang baik untuk menangani propaganda antivaksin yang “menenggelamkan” fakta berkaitan keselamatan dan keberkesanan vaksin.

“Kami sudah benar-benar penat dalam menyebarkan fakta ini. Setiap hari kami lihat (ada saja maklumat salah), setiap hari kami perlu betulkan orang ramai,” katanya, menambah walaupun penat, mereka akan terus mendidik orang awam selagi diperlukan.

Beliau turut berharap kerajaan negeri akan mengambil langkah serupa mewajibkan vaksinasi, khususnya bagi kumpulan sokongan di Jabatan Kebajikan Masyarakat, memandangkan katanya merekalah yang selalunya berurusan dengan golongan rentan yang berdaftar dengan jabatan itu. - BERNAMA

Advertisement