Anda di sini

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur berikutan penurunan KLCI

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia bercampur-campur pada sesi awal dagangan dengan indeks utama merosot daripada peningkatan semalam berikutan aktviti pengambilan untung ketika pasaran lebih luas mencatatkan prestasi lebih memberangsangkan susulan pembelian saham permodalan kecil.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.52 mata kepada 1,557.9 daripada 1,559.42 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ia dibuka rendah 1.18 mata kepada 1,558.24.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 244 kepada 152, manakala 255 kaunter tidak berubah, 1,618 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 250.29 juta unit bernilai RM123.06 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata sentimen pasaran mungkin kekal dengan kecenderungan positif hari ini berikutan Johor dan Pahang akan beralih kepada fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara bermula esok, manakala kadar vaksinasi bagi penduduk dewasa adalah 88.4 peratus.

“Pelabur mungkin menyasarkan sektor bertemakan pemulihan terutamanya penerbangan dan pelancongan, di tengah-tengah prospek positif daripada pembukaan semula perjalanan rentas negeri pada masa akan datang,” katanya dalam nota.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM8.06 dan Tenaga susut empat sen kepada RM9.70, manakala Public Bank dan Petronas Chemicals tidak berubah, masing-masing pada RM4.06 and RM8.83.

IHH dan CIMB menambah satu sen masing-masing pada RM6.63 dan RM4.83.

Bagi saham aktif, KNM turun satu sen kepada 23 sen, Tanco naik setengah sen kepada 24 sen, SYF jatuh 3.5 sen kepada 39 sen, Sapura Energy tidak berubah pada 10 sen, dan Sin Heng Chan naik dua sen kepada 63.5 sen.

Di papan indeks, Indeks Emas tinggi 7.68 mata kepada 11,462.12, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 8.26 mata kepada 12,591.17, FBM 70 meningkat 9.79 mata kepada 15,043.04,dan FBM ACE melonjak 3.92 mata kepada 7,076.0.   

Bagaimanapun, Indeks FBMT 100 turun 6.18 mata kepada 11,116.4.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.41 mata kepada 208.59, Indeks Perladangan meningkat 23.85 mata kepada 6,941.08, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 0.58 mata kepada 15,204.09. - BERNAMA

Advertisement