Anda di sini

Bantuan musim tengkujuh RISDA disalurkan pada November dan Disember

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600 untuk pekebun kecil yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan disalurkan dalam dua peringkat iaitu pada November dan Disember ini.

Pengerusinya Datuk Salim Sharif berkata pembayaran sebanyak RM300 akan dibuat pada November dan baki sebanyak RM300 lagi pada bulan berikutnya yang melibatkan seramai 232,319 penerima.

Sehubungan itu, beliau menggesa pekebun kecil yang masih belum mengemas kini maklumat atau permohonan baharu supaya segera berbuat demikian sebelum 15 November ini.

“Daripada jumlah penerima tersebut, sebanyak 145,996 penerima masih belum mengemas kini maklumat mereka.

“Bantuan akan disalurkan melalui Sistem Perbankan Elektronik kepada akaun bank penerima. Ya, (penerima tidak akan menerima bantuan) kalau mereka tidak kemas kini maklumat,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Salim berkata penerima yang menghadapi masalah untuk mengemas kini maklumat mereka secara dalam talian boleh hadir ke pejabat daerah RISDA yang terdekat.

Maklumat lanjut mengenai Bantuan Musim Tengkujuh 2021 boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.pekebunkecilmakmur.com.my. - BERNAMA
 

Advertisement