Anda di sini

CIMB, Cendana, Yayasan Hasanah bekerjasama bantu pemulihan sektor seni dan budaya

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB), Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA) dan Yayasan Hasanah bekerjasama untuk memacu pemulihan ekosistem seni, budaya dan warisan Malaysia.

Di bawah kerjasama tiga pihak melibatkan sektor awam dan swasta atau TripART, mereka akan menerajui tiga inisiatif yang berbeza untuk secara kolektif meningkatkan seni dan budaya, kata CIMB dalam satu kenyataan hari ini.

"Kerjasama itu akan membolehkan mereka mempromosikan program mereka dengan kalendar aktiviti secara bersama dari Oktober hingga Disember 2021 untuk mewujudkan kesan holistik yang lebih besar," katanya.

Acara kemuncak kerjasama selama tiga bulan itu ialah Hotel Art Fair dari 4 hingga 7 November 2021, di Element Kuala Lumpur, di mana lebih daripada 50 artis diwakili oleh sembilan galeri serta penerima manfaat dan rakan kongsi Yayasan CIMB, CENDANA dan Yayasan Hasanah akan mempamerkan karya seni mereka di bilik hotel yang diubah menjadi galeri kecil.

“Kerjasama TripART dikonseptualisasikan sebagai pengiktirafan perlunya sektor awam dan swasta berkolaborasi secara berkesan bagi menyokong seniman, pelakon dan penggiat seni di pasaran sekaligus memelihara kelangsungan hidup mereka dan memperkukuhkan daya maju ekonomi ekosistem seni tempatan.

"Kelangsungan hidup mereka bergantung kepada semangat industri seni, pelancongan dan acara yang telah terjejas sejak awal penularan COVID-19 pada tahun 2020," katanya.

Ia berkata kerjasama itu bertujuan menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mempromosikan pertumbuhan inklusif dan lestari, mengurangkan ketidakseimbangan dan mewujudkan bandar serta komuniti yang lestari.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama TripART, CIMB mengadakan inisiatif CIMB Artober keduanya, memperkenalkan lebih banyak kandungan digital, ceramah seni dan pameran oleh 10 galeri seni komersial yang mengambil bahagian pada hujung minggu yang menampilkan lebih daripada100 artis tempatan dengan lebih daripada 350 karya seni.

Sementara itu, CENDANA akan menganjurkan kempen Art In The City dengan menganjurkan sembilan program utama menawarkan lebih daripada 100 aktiviti termasuk forum ekonomi kreatif, kelas seni terbuka dan platform seni tradisional.

Arts for All Seasons (ArtsFAS) Yayasan Hasanah melancarkan platformnya untuk memberi penghormatan dan mempamerkan seni, warisan dan budaya Malaysia yang dipelihara dan dipulihara menerusi 31 acara umum yang dapat diakses oleh semua orang, ia menghubungkan warisan kita dengan generasi esok.

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan CIMB, Gurdip Singh Sidhu berkata inisiatif CIMB Artober itu juga bertujuan untuk menyokong daya tahan dan kelangsungan hidup artis dan galeri seni tempatan.

"Sebagai sebahagian daripada CIMB Artober, kami juga menawarkan tawaran eksklusif untuk penginapan dengan rakan hotel dan tawaran istimewa untuk pelanggan kad kredit CIMB kami. Kami berharap ia akan mendatangkan minat dan sokongan yang lebih banyak daripada orang ramai untuk sektor seni tempatan," katanya. - BERNAMA

Advertisement