Anda di sini

Bayi lelaki masih bernyawa dibuang di tong sampah

Advertisement
 Bayi cukup sifat ditemukan masih bernyawa di tapak pembuangan sampah.
SIHAT: Bayi cukup sifat ditemukan masih bernyawa di tapak pembuangan sampah.
 Pihak polis semasa melakukan siasatan di lokasi penemuan bayi lelaki cukup sifat di Indah Permai.
SIASAT: Pihak polis semasa melakukan siasatan di lokasi penemuan bayi lelaki cukup sifat di Indah Permai.

KOTA KINABALU: Orang ramai gempar sebaik menemukan bayi lelaki masih bernyawa di dalam tong sampah berhampiran pasar raya di Taman Indah Permai Manggatal, di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata bayi lelaki cukup sifat ditemukan kira-kira jam 7 malam.

“Hasil siasatan mendapati kejadian disedari seorang lelaki berumur 30-an yang kebetulan melintasi kawasan pembuangan sampah berkenaan.

“Lelaki yang enggan dikenali itu mendengar bunyi rengekan yang disangka kucing di kawasan pembuangan sampah.

“Semasa hampir pada punca bunyi itu lelaki berkenaan terkejut sebaik menemukan bayi malang itu sebelum menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata bertindak dengan kejadian, sepasukan polis digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

“Bayi lelaki yang dipercayai baharu dilahirkan itu kemudiannya diserahkan kepada pasukan ambulans yang membawanya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi,” katanya.

George berkata pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes pembuangan bayi itu untuk tampil memberi maklumat.

Katanya maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ab Zumin di talian 0145521425.

  • oleh
  • Advertisement