Anda di sini

Bank-bank Malaysia tingkatkan perbelanjaan insiatif digital

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kira-kira 64 peratus pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit Malaysia mengakui bahawa bank masing-masing kini meningkatkan perbelanjaan berkaitan inisiatif digital dan kesejahteraan kewangan - peratusan tertinggi di rantau Asia Pasifik dan mengatasi Singapura, Jepun dan Australia.

Menurut kajian Backbase, peneraju platform libat urus perbankan, perkembangan itu adalah susulan aktiviti permohonan lesen perbankan digital yang dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Pada tarikh akhir permohonan iaitu 30 Jun, 2021, BNM telah menerima sejumlah 29 permohonan dengan hanya lima lesen diserahkan seawal suku pertama 2022.

“Sektor perbankan runcit di Malaysia kini sedang membuat persiapan untuk menghadapi persaingan dengan menawarkan pelbagai khidmat digital yang baharu buat para pelanggan,” kata Backbase dalam kenyataan pada Rabu.

Naib Presiden Serantau Backbase di Asia Pasifik, Iman Ghodosi menyifatkan sekarang sebagai masa yang tepat serta menjadi gerbang peluang untuk bank-bank bertindak membangunkan khidmat digital masing-masing.

“Laporan terkini menunjukkan warga Malaysia sememangnya amat berminat dengan perkhidmatan digital. Sebagai contoh, 67 peratus pengguna yang ditinjau mengakui mereka pernah menggunakan aplikasi mudah alih bank masing-masing manakala 87 peratus menghargai aplikasi mudah alih berkualiti disediakan bank dan 82 peratus menjalankan aktiviti perbankan harian mereka menerusi telefon pintar,” katanya.

Sehubungan itu, Ghodosi menjangkakan tempoh enam bulan berikutnya sebagai detik kritikal dalam arena perbankan digital.

“Aspek kesegeraan dan fokusnya adalah jelas - Malaysia mempunyai lima bank digital yang bakal mengubah landskap perbankan serta mengambil alih pegangan pasaran pada tahun depan dan (sudah pastinya) bank-bank konvensional bimbang dengan kenyataan ini,” katanya.

Beliau berkata,  rakyat Malaysia mahukan kualiti khidmat pelanggan dan fleksibiliti lebih tinggi bagi perkhidmatan kewangan yang digunakan selain kemampuan mengakses kewangan peribadi pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan menerusi pelbagai saluran serta diberi mekanisme sesuai untuk menguruskannya.

“Bank-bank konvensional mungkin akan kehilangan daya saing jika gagal bertindak melakukan inovasi pada kadar segera. Pada masa ini, adalah penting bagi bank-bank untuk mengeratkan hubungan dengan pelanggan masing-masing.

“Kita telah pun memasuki era perbankan seranta - satu evolusi yang menekankan kepentingan platform bersepadu bagi kegiatan perbankan.

“Keutamaan terpenting dalam era baharu ini adalah untuk merangka semula sistem perbankan sedia ada agar berteraskan pengguna masa kini dan beralih daripada pelaburan dalam teknologi-teknologi yang hanya menyebabkan makin tersisih,” katanya. - BERNAMA

Advertisement