Anda di sini

OECD: Pastikan persaingan harga dalam tetapkan kadar fret di Malaysia

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh memastikan persaingan harga dengan memansuhkan kuasa pihak berkuasa untuk menetapkan kadar fret, sejajar dengan amalan semasa apabila kadar ditentukan oleh pasaran, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Dalam laporan Kajian Penilaian Persaingan 2021: Sektor Logistik di Malaysia, katanya sektor pengangkutan fret jalan raya melibatkan syarat modal minimum untuk memasuki sektor kenderaan barangan di negara ini, apabila pengendali yang memohon lesen pembawa A perlu mempunyai modal terkumpul sebanyak 30 peratus daripada kos kenderaan yang akan dibeli.

Sementara itu, untuk individu dan perkongsian serta syarikat sendirian berhad, termasuk syarikat berhad dan koperasi, modal berbayar mestilah tidak kurang daripada RM250,000.

Bagi mendapatkan lesen kontena (KA), OECD berkata modal berbayar mestilah tidak kurang daripada RM500,000, manakala modal terkumpul mestilah bersamaan dengan 30 peratus daripada nilai kenderaan yang akan dibeli.

OECD mengingatkan bahawa syarat tersebut akan merosakkan persaingan dan boleh meningkatkan kos kemasukan syarikat baharu, menghalang pelaburan dan kemasukan pasaran selain mengurangkan jumlah pengendali dalam pasaran.

“Ini boleh menyekat kemasukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan boleh memberi impak diskriminasi terhadap pengendali yang lebih besar selain memberi impak langsung kepada pilihan dan kualiti produk untuk pengguna,” katanya dalam laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Laporan itu membuat 63 cadangan mengenai peruntukan undang-undang tertentu yang perlu dimansuh, dipinda atau dikaji semula berdasarkan analisis perundangan Malaysia yang terpilih, temu bual pihak berkepentingan dan penyelidikan dalam sektor logistik.

Mengulas lanjut mengenai cadangan pengangkutan fret jalan raya, katanya OECD memahami pihak berkepentingan tertentu percaya bahawa syarat modal khusus ini membantu menjamin keselamatan, menyatakan bahawa jika syarikat pengangkutan tidak mempunyai modal yang mencukupi, mereka mungkin menjejaskan keselamatan.

“Bagaimanapun, modal tidak menjamin bahawa syarikat mempunyai aset yang mencukupi untuk melabur dalam keselamatan.

“Malaysia perlu memansuhkan syarat modal khusus untuk pengangkutan fret berikutan dilihat terdapat alasan yang tidak mencukupi sebab sektor ini diberi tumpuan. Sebagai alternatif, syarat insurans atau jaminan bank boleh diperkenalkan,” katanya.

Laporan tersebut turut menyarankan pembatalan beberapa kriteria tidak wajar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi proses pembaharuan lesen kenderaan komersial seperti aspek daya maju perniagaan.

Selain itu, OECD berkata, hanya satu lesen tunggal perlu diwujudkan bagi tujuan pengangkutan masing-masing kargo am dan kontena agar pengendali memohon satu lesen untuk setiap kenderaan serta dapat beroperasi dengan lebih cekap.

“Ini akan memastikan aspek pengurangan kos dan mempermudah usaha menyertai pasaran,” katanya.

Menurut OECD, pada masa ini, peraturan menetapkan agar pendaftaran trak sama ada sebagai kenderaan pengangkut kontena atau kargo am dan memerlukan permit kenderaan untuk aktiviti terbabit yang menjadi menghalang untuk memasuki sertan beroperasi secara cekap di pasaran.

“Ketetapan itu mengurangkan penggunaan kenderaan tunggal sedangkan perbandingan di peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa syarat ini bukanlah sesuatu yang wajar,” katanya.

PASARAN PERKAPALAN DOMESTIK DIPERLUAS

Menurut Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia 2019, Malaysia berada di kedudukan kelima daripada kelompok 141 negara membabitkan aspek kesalinghubungan perkapalan manakala dari segi kecekapan perkhidmatan pelabuhan menyaksikan negara ini di tangga ke-19 daripada 141 negara.

Malaysia mempunyai sektor pelabuhan yang maju dengan dua pelabuhannya -- Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas masing-masing di tempat ke-12 dan 18 di peringkat dunia dari segi kendalian kontena.

Laporan OECD itu bagaimanapun menyatakan kapal-kapal asing hanya dibenarkan beroperasi di wilayah Malaysia jika tiada kapal tempatan dapat menyediakan perkhidmatan khusus yang diinginkan manakala pengecualian keistimewaan membabitkan firma domestik serta perkhidmatan pula mengehadkan kebenaran bagi kapal-kapal asing beroperasi.

“Ini mungkin sukar untuk pemohon menjangkakan sama ada mereka akan diberi permit khas berdasarkan budi bicara Lembaga Pelesenan Perkapalan Domestik serta keperluan mendapatkan kebenaran daripada Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA).

“Walaupun pemohon kini boleh membuat permohonan dalam talian bagi lesen perkapalan domestik secara elektronik, beban pentadbiran dari segi menyediakan senarai panjang dokumen, ketidaktentuan berkaitan permit khas dan masa singkat bagi mana-mana permit akan menyebabkan kapal asing tidak berminat untuk memohon permit khas tersebut,” kata OECD.

Oleh itu, ia mencadangkan supaya pembukaan lebih banyak untuk pasaran perkapalan domestik dan jika sekatan perjalanan dikekalkan, prosedur aplikasi yang lebih efisien perlu diperkenalkan serta panduan diberikan untuk memberikan kepastian berkaitan undang-undang kepada pemohon.

“Setiap permit khas yang diberikan perlu mempunyai tempoh lebih lama. Perlu ditegaskan bahawa respons oleh MASA hanyalah untuk memberi nasihat sahaja dan keputusannya tiada kaitan dengan kementerian,” katanya.

Laporan itu turut menyarankan untuk memperkenalkan syarat yang jelas bagi permohonan lesen untuk pengangkutan maritim bagi mengurangkan kos dan memudahkan kemasukan pasaran.

“Menilai sama ada terdapat kepentingan peribadi dalam memberikan perkhidmatan pemanduan. Sekiranya demikian, gubal rangka kerja undang-undang yang sesuai supaya perkhidmatan pemanduan dapat dilakukan dengan syarat yang adil dan tidak diskriminatif bagi menjamin persaingan untuk pasaran,” menurut OECD, sambil menambah bahawa semua malim perlu mempunyai pengetahuan tempatan dan memenuhi standard kualiti untuk menjamin keselamatan.

SEKTOR LOGISTIK LAIN

Di Malaysia, pasaran fret adalah pelbagai dengan kira-kira 3,000 penyedia perkhidmatan yang memegang lesen broker kastam, kira-kira separuh daripadanya adalah ahli Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF).

Menurut laporan itu, tiada rangka kerja perundangan nasional untuk gudang kegunaan am.

“Pasaran kurier, ekspres dan bungkusan mencatatkan pendapatan keseluruhan sebanyak US$1.4 bilion pada 2019 dan diunjurkan akan mencapai US$3.2 bilion pada 2025, mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 14.4 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, OECD berkata lesen baharu perlu dikeluarkan untuk broker kastam bagi membolehkan kemasukan baharu dan pada masa sama, mengkaji semula syarat untuk mendapatkan lesen untuk gudang khusus termasuk syarat untuk ruang minimum dan nilai minimum.

“Ini dapat menggalakkan kemasukan pasaran dan memastikan penyedia perkhidmatan kurier tidak tertakluk kepada peraturan harga untuk menggalakkan persaingan harga,” katanya.

RATIFIKASI PERJANJIAN AFAMT 

Malaysia terlibat dalam beberapa perjanjian ASEAN berkaitan logistik.

Pelan Induk Kemudahan Logistik dan Perdagangan (2015-2020) berada di bawah tanggungjawab Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan dengan visi Malaysia menjadi “pintu masuk logistik pilihan ke Asia”.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan Malaysia belum membuat Perjanjian Rangka Kerja ASEAN bagi Pengangkutan Pelbagai Modal (AFAMT), kali pertama dipersetujui dalam kalangan negara-negara ASEAN pada 2005, yang mengawal selia tanggungjawab, dokumen dan operasi pengendali pengangkutan pelbagai modal di seluruh negara-negara ASEAN.

“Malaysia menyasarkan untuk meratifikasi AFAMT pada 2020/2021.

“Bagaimanapun, negara telah memuktamadkan dan mengesahkan rangka kerja pelaksanaan AFAMT,” katanya.

OECD mencadangkan Malaysia meratifikasi AFAMT dan memperkenalkan peruntukan khusus atau undang-undang baharu untuk melaksanakannya dalam sistem perundangan negara.

“Pelaksanaan rangka kerja itu akan mengurangkan kos untuk pengendali dan meningkatkan keupayaan mereka bagi menyediakan perkhidmatan di seluruh negara anggota ASEAN, membolehkan aliran barangan dan perkhidmatan merentas geografi,” katanya.

OECD turut mencadangkan memudahkan aliran fret merentas sempadan dengan mengkaji semula syarat untuk trak memunggah dan memuat serta larangan ke atas trak Indonesia yang berada di luar pelabuhan di sempadan yang meningkatkan kecekapan. - BERNAMA

Advertisement