Anda di sini

Kelington peroleh kontrak UHP bernilai RM40 juta

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu, Kelington Group Bhd (Kelington) telah memperoleh kontrak Ultra Ketulenan Tinggi (UHP) bernilai kira-kira RM40 juta melalui anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Puritec Technologies (S) Pte Ltd.

Kejayaan kontrak ini merupakan kontrak UHP ketiga yang diperoleh daripada peneraju global dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan projek fasiliti berteknologi tinggi, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Di bawah kontrak tersebut, Kelington akan melakukan kerja-kerja pembekalan dan proses pemasangan saluran untuk sistem pendingin hawa atau pemanasan.

"Fabrikasi baharu ini diharapkan menjadi fasiliti pembuatan semikonduktor paling maju di Singapura, dan penyelesaian bersepadu itu akan memenuhi keperluan pasaran akhir yang berkembang pesat dalam automotif, mobiliti 5G dan segmen peranti keselamatan," katanya.

Projek ini akan bermula pertengahan Oktober dan dijadualkan siap pada Disember 2022.

Pada Ogos dan September tahun ini, kumpulan itu telah memperoleh dua kontrak UHP untuk kerja-kerja pengedaran sistem gas pukal dan khusus di kemudahan yang sama, masing-masing bernilai RM45 juta dan RM49 juta, daripada pelanggan yang sama.

Dengan kejayaan kontrak baharu ini, tempahan baharu Kelington yang diperoleh hingga 2021 berjumlah kira-kira RM841 juta.

Termasuk projek yang dijalankan dari tahun sebelumnya, perolehan nilai kontrak terkumpul kumpulan kini berjumlah RM979 juta.- BERNAMA

Advertisement