Anda di sini

Abang Cik dan Eric mencul dengan single baharu

Advertisement
 Abang Cik (dua dari kiri, berdiri) dan Eric (kanan, berdiri) bergambar sama NurJaffar (kiri, berdiri) serta penerbit dan komposer Fauzi Aisunam (duduk).
KENANGAN: Abang Cik (dua dari kiri, berdiri) dan Eric (kanan, berdiri) bergambar sama NurJaffar (kiri, berdiri) serta penerbit dan komposer Fauzi Aisunam (duduk).

KOTA KINABALU: Setelah sekian lama merancang untuk kembali mewarnai industri hiburan negara, hasrat dua penyanyi otai 80an, Abang Cik The Klangs, 68, dan Eric Abdullah, 58, untuk merakamkan single baharu mereka akhirnya terlunas.

Tidak lama selepas kerajaan mengumumkan pembukaan semula sektor kreatif negara, kedua-duanya mereka terus merebut kesempatan itu untuk 'masuk studio' dan melengkapkan proses rakaman lagu pada 25 September lepas.

Abang Cik atau nama sebenarnya Ismail Jantan bakal muncul dengan lagu ciptaan sendiri bertajuk Siapa Sebenar. Manakala Eric pula akan tampil dengan single berjudul Oh Dinda, juga hasil nukilan sendiri. 

Kedua-dua album single itu diterbitkan oleh FGI Production Studio Sdn Bhd (Fedrated Group Inc) Kuala Lumpur dan mendapat tajaan daripada seorang dermawan dari Sabah, NurJaffar Inggis.

Kali terakhir bergiat aktif dalam industri seni pada 2011, Abang Cik berharap dapat mencetuskan kebangkitan semula 'otai' dalam industri seni negara menerusi kehadiran single mereka.

"Selepas ini, saya harap lebih ramai artis lama seangkatan kami dapat bangkit semula untuk merakamkan lagu masing-masing kerana saya tidak mahu mereka tercicir dari industri lebih-lebih lagi apabila ramai yang hilang sumber pencarian dan pendapatan sejak wabak COVID-19 mula melanda negara.

"Sejak pandemik COVID-19 melanda negara hampir dua tahun lepas, artis tidak dapat membuat persembahan, malah tawaran persembahan juga tiada akibat penularan wabak ini. Akibatnya, bukan saja nasib penggiat seni kian terhimpit bahkan merosakkan ekosistem industri muzik negara.

"Kerajaan perlu peka dengan situasi ini dan justeru itu saya berharap kerajaan menerusi Kementerian Kewangan dapat memberikan peruntukan jauh lebih besar untuk industri seni kreatif pada Belanjawan 2022 bagi memajukan sektor ini yang terjejas teruk akibat pandemik," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bercakap mengenai single Siapa Sebenar, Abang Cik berharap lagu terbabit mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat-peminat muzik tanah air.

"Jika ada tawaran, saya juga bercadang untuk mengadakan persembahan di Sabah dan Sarawak," katanya yang popular dengan lagu Sabar Dulu. 

Sementara itu, Eric yang kali terakhir merakamkan lagu pada tahun 2017, memberitahu umur bukan penghalang untuknya tampil dengan karya-karya baharu.

"Menerusi kehadiran single ini saya ingin memberikan inspirasi kepada artis-artis veteran yang seangkatan untuk terus berusaha menghasilkan lagu-lagu baharu biarpun pada usia emas ini.

"Dalam masa sama sama, saya harap lebih ramai orang akan tampil membantu (artis) otai-otai ini untuk kembali ke persada seni menerusi penghasilan lagu-lagu baharu. 

"Sebenarnya ramai saja artis lama yang ingin kembali tetapi terjejas teruk oleh COVID-19, sehinggakan ada yang hilang sumber pendapatan.

"Oleh itu, saya turut berharap ada pihak yang prihatin membantu otai-otai hiburan yang terkesan untuk keluar daripada situasi yang amat menekan ini," katanya, baru-baru ini," katanya.

Eric berkata, beliau dan Abang Cik memutuskan untuk merakamkan lagu mereka di studio sama dan menjalankan aktiviti promosi bersama bagi menjimatkan kos.

"Setelah lama menyepi, kami berdua merancang untuk membuat kemunculan semula. Selepas berbincang, kami memutuskan untuk merakamkan lagu kami di studio yang sama, jadi kos rakaman, pembuatan album single dan kos promosi itu lebih kecil jika kami bergabung. 

"Kami bersyukur apabila pembikinan lagu kami mendapat tajaan daripada dermawan seperti NurJaffar. Jadi, dapat menjimatkan lagi kos yang perlu kami tanggung.

"Sebab itu, saya percaya artis-artis lama perlu bergerak dalam kumpulan kami sendiri, yang terdiri daripada penyanyi-penyanyi lama tidak kisahlah solo atau berkumpulan. 

"Sekiranya, kami ingin mengadakan persembahan kami ada kumpulan kami (otai) sendiri. 

"Contohnya, sekiranya ingin bergerak ke lokasi konsert, daripada bergerak menggunakan kereta masing-masing, kami boleh bergerak dalam satu kenderaan. 

"Begitu juga dalam pembikinan lagu, kos dapat dijimatkan. Sebab itu, lebih elok kami bergabung sesama otai apatah lagi sekian lama kami tidak dapat bertemu," katanya.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Abang Cik pernah mewarnai industri hiburan negara pada era 80an, seangkatan dengan artis-artis seperti Datuk Dj Dave, Herman Tino dan Shidee, antara lain.

Selain itu, beliau juga merupakan penyanyi utama kumpulan The Klangs yang cukup dikenali menerusi lagu Ragam Remaja. Mereka sempat merakamkan tiga buah album bersama syarikat rakaman WEA (kini Warner Music). 

Sementara itu, Eric pula mula dikenali sejak awal 80an dan popular menerusi lagu antaranya Cinta Yang Terlarang (feat Ayati Tasrip), Dara Pattani, Noktah Cinta dan Joget Hari Raya. 
 

Advertisement