Anda di sini

MEDAC pertimbang beri kelonggaran moratorium untuk usahawan

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran kepada golongan usahawan pada akhir tahun ini sekiranya mereka menghadapi masalah untuk membayar balik pinjaman bank. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar (gambar) berkata moratorium yang diberikan kepada usahawan melalui agensi-agensi di bawah kementerian itu berjumlah RM5 bilion.

"Kita faham sekarang usahawan menghadapi pelbagai masalah. Dalam masa yang sama, agensi di bawah MEDAC akan bekerjasama, dan jika ada mana-mana agensi yang mempunyai pinjaman di bawah kementerian, kita akan memberikan kelonggaran.

"Kita akan sentiasa melihat bagaimana untuk memulihkan ekonomi tetapi juga usahawan yang terkesan akibat COVID-19 ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mengenai dasar kewangan jangka panjang dan perancangan MEDAC untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan industri yang terkesan akibat  perintah kawalan pergerakan semasa pandemik COVID-19.

Menjawab soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Selangor) mengenai ketirisan bantuan untuk PKS, Noh turut memberi jaminan bahawa kementerian tersebut akan terus menyampaikan bantuan kepada PKS dengan segera.

"Saya minta, jika ada rungutan daripada rakyat mana-mana (bahawa) agensi di bawah MEDAC ini lambat, tolong lapor kepada saya. Saya janji tindakan akan diambil kepada pegawai yang melengah-lengahkan dan menyusahkan rakyat untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Noh berkata MEDAC mempunyai pelan perbelanjaan khusus dalam tempoh jangka panjang kepada PKS melalui agensi-agensi di bawah kementerian tersebut.

Pada masa yang sama, MEDAC juga akan memperkenalkan skim sewa untuk beli (RTO) dalam usaha untuk membantu usahawan mempunyai bangunan atau aset sendiri.

Kementerian itu akan turut memperkasa program keupayaan dan pembangunan kapasiti serta latihan untuk usahawan terutamanya dalam meningkatkan keupayaan teknologi dan digitalisasi dalam operasi perniagaan. - BERNAMA
 

Advertisement