Anda di sini

Kerajaan teliti mekanisme bantuan modal mula perniagaan PMKS

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang untuk menyediakan bantuan modal memulakan semula perniagaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang telah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata kerajaan sedang berbincang dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz supaya meneliti cadangan itu agar bantuan modal memulakan semula perniagaan tersebut boleh diberikan. 

Beliau berkata pihak Kementerian Kewangan juga sedang meneliti mekanismenya sama ada tidak perlu membayar balik atau moratorium ke atas bayaran prinsipal atau faedah.

“Saya berbincang dengan Kementerian Kewangan bahawa selama ini kita beri ‘one off’ bantuan tetapi bagi peniaga-peniaga, bantuan ‘one-off’ tidak mencukupi. 

“Kalau mikro mendapat RM3,000 ‘one off’, (ia) bantu mereka dari segi untuk meneruskan hidup tetapi apabila ekonomi semakin dibuka, kalau kita lihat banyak syarikat terutama mikro telahpun menutup perniagaan, dan mereka memerlukan modal untuk memulakan semula perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program wawancara Eksklusif Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan, malam Ahad.

Beliau yakin sekiranya bantuan itu dapat diberikan kepada PMKS, kalangan usahawan dan peniaga dalam sektor itu boleh memulakan kembali perniagaan masing-masing.

Bagi PMKS bumiputera, kerajaan menyasarkan mereka menyumbang 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), katanya.

Dalam memperkasakan ekonomi mikro dan membantu golongan miskin tegar pula, Ismail Sabri berkata agensi atau kementerian yang berkaitan bukan sahaja akan memberi latihan selama sekurang-kurangnya enam bulan, malah cara untuk memulakan perniagaan, modal serta pemantauan.

“Kita perlu bimbing tangan mereka, kumpulan yang baru memulakan perniagaan terdiri daripada golongan miskin. Mereka kadang-kadang tak pernah pun terlibat dalam bidang perniagaan. Jadi, latih mereka bukan setakat (dari segi) apa yang mereka nak jadikan sebagai produk perniagaan malah dari segi pengurusan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata satu jawatankuasa khas akan diwujudkan di peringkat daerah supaya data lengkap dapat dikumpulan, bantuan dan sokongan kerajaan boleh diselaraskan serta hasil bantuan dapat dicapai.

“Selama ini mungkin kita beri (bantuan) macam-macam, tetapi kita tiada data (mengenai) berapa ramai yang berjaya. Kita nak perincian berapa jumlah orang miskin yang dibantu, apa yang dibantu dan apa kejayaan selepas itu,” katanya.

Beliau berkata di peringkat nasional, kabinet telah memutuskan satu jawatankuasa khas pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 ditubuhkan dengan dipengerusikan Perdana Menteri.

“Kita akan bermesyuarat setiap dua minggu sekali untuk memantau pelaksanaan ini,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement