Anda di sini

Anak syarikat Petronas beri khidmat nasihat, teknikal untuk kilang metanol mega Sarawak

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Petronas Global Technical Solutions Sdn Bhd (PGTSSB), anak syarikat milik penuh Petronas telah memeterai perjanjian dengan Sarawak Petchem Sdn Bhd membabitkan penyediaan khidmat nasihat dan sokongan teknikal bagi kilang metanol mega pertama di Sarawak.

Dalam kenyataan pada Isnin, PGTSSB berkata perjanjian tersebut merangkumi nasihat berkaitan perkhidmatan teknikal, pemerolehan dan pemulihan selain sokongan operasi kritikal dan penyelenggaraan Projek Metanol Sarawak yang penting sepanjang tempoh pelaksanaan dan pengoperasian.

Pengerusinya Noor Ilias Mohd Idris berkata PGTSSB juga komited untuk menyediakan kemudahan kepakaran teknikal dan penyampaian projek bagi memenuhi visi Sarawak membangunkan kilang pertama seumpamanya.

“Pakar-pakar tempatan PGTSSB merangkumi pelbagai disiplin teknikal dan kaya dengan pengalaman dalam projek sedemikian di Malaysia. Mereka juga dapat menyumbang ke arah memastikan kelangsungan bakat-bakat teknikal yang mampan di Sarawak Petchem menerusi usaha pemindahan pengetahuan,” katanya.

PGTSSB menawarkan khidmat kepakaran teknikal kepada sektor minyak dan gas, termasuk lebih 30 syarikat tempatan dan multinasional yang meliputi skop kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) selain operasi bagi pelbagai projek merentasi rantaian minyak, gas dan petrokimia.

Sarawak Petchem yang ditubuhkan pada Jun 2017, adalah syarikat pertama di negeri itu yang terbabit dalam pengeluaran metanol berkapasiti 1.7 juta tan setahun menerusi kilang yang sedang dibina di Bintulu. - BERNAMA
 

Advertisement