Anda di sini

50 syarikat bas persiaran diberi notis mahkamah, bakal gulung tikar 

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KOTA BHARU: Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (PPBBM) memohon pertimbangan kerajaan untuk menyegerakan bantuan kepada 50 syarikat bas persiaran di seluruh negara yang sudah diberikan notis mahkamah berikutan menghadapi masalah tunggakan dengan syarikat kredit.

Pengerusi PPBBM Che Ibrahim Che Ismail berkata bantuan tersebut perlu dipercepatkan bagi mengelak syarikat bas persiaran daripada berhadapan dengan situasi 'gulung tikar'.

"Setakat ini, hanya bas persiaran yang diberikan notis mahkamah berikutan pengusahanya ada tunggakan bayaran pinjaman dengan syarikat kredit untuk pembelian bas.

“Bagaimanapun, bas lain seperti ekspres, sekolah dan pekerja masih belum diambil apa-apa institusi kewangan, namun memerlukan bantuan bagi mengaktifkan semula perkhidmatan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama PPBBM di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara, Panji, di sini semalam.

PPBBM dianggotai 18 syarikat di seluruh Malaysia dengan sejumlah 324 bas dan 694 pekerja.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim berkata pihaknya turut memohon lanjutan moratorium untuk bas sekolah dan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) selama enam bulan serta cukai jalan dibayar mengikut tarikh insurans tamat.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan pada pertengahan Oktober atau Disember ini banyak aktiviti-aktiviti akan dibuka oleh kerajaan, oleh itu permintaan kepada perkhidmatan ini akan meningkat, sedangkan kebanyakan pengusaha tidak mempunyai modal yang cukup untuk menjalankan baik pulih bas.

"Kami memohon bantuan ini disebabkan tidak mempunyai modal yang cukup untuk membaik pulih bas memandangkan kos penyelenggaraan sebuah bas eskpres membabitkan kos antara RM10,000 hingga RM15,000," katanya. - BERNAMA
 

Advertisement