Anda di sini

MOTAC peruntuk RM5 juta naik taraf Kampung Budaya Sarawak 

Advertisement
Nancy (empat kanan) melancarkan projek naik taraf Kampung Budaya Sarawak. Turut kelihatan Noor Zari (tiga kanan), Abdul Karim (empat kiri) serta yang lain. -Gambar Roystein Emmor
Nancy (empat kanan) melancarkan projek naik taraf Kampung Budaya Sarawak. Turut kelihatan Noor Zari (tiga kanan), Abdul Karim (empat kiri) serta yang lain. -Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) memperuntukan RM5 juta bagi menaik taraf infrastruktur di Kampung Budaya Sarawak (SCV). 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata peruntukan ini adalah sebahagian daripada RM20 juta yang diluluskan menerusi Belanjawan 2021 Pemberian Kemudahan Projek Khas, Projek-Projek di bawah peruntukan Kampung Budaya. 

Katanya selain Sarawak, tiga lagi negeri iaitu Negeri Sembilan, Terengganu dan Melaka turut menerima peruntukan ini bagi tujuan sama iaitu menaiktaraf kemudahan produk pelancongan berciri kampung budaya. 

“Di Sarawak kita ada Kampung Budaya Sarawak dan pihak SCV telah bersedia untuk menjalankan kerja-kerja baikpulih serta naik taraf. 

“Menerusi naik taraf ini kelak, kita berharap SVC akan mempunyai infrastruktur yang terbaik dan dapat menarik lebih ramai kedatangan pelawat ke SCV yang merupakan kampung budaya terbaik dalam negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja dan pelancaran Projek Pembaikpulihan Atap Struktur Kampung Budaya Sarawak di sini Teater Budaya SCV di sini hari ini. 

Hadir sama Ketua Setiausaha Tetap MOTAC Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Menteri Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. 

Tambah Nancy, kementeriannya juga merancang untuk mengadakan beberapa acara di Sarawak bagi meningkatkan lagi aktiviti pelancongan di negeri ini termasuk di SVC ini. 

Antaranya Damai Virtual Run yang dijadual pada 1 Oktober hingga 15 November, Drama Muzikal Putri Santubong pada 11 dan 12 Disember dan Maraton Jambatan Batang Sadong yang dijangka pada Disember ini. 

Sehubungan itu beliau berharap kerajaan negeri akan membenarkan penganjuran program-program ini untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan negeri. 

Sementara itu Pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain dalam ucapannya secara maya berkata berterima kasih kepada kerajaan persekutuan menerusi MOTAC atas peruntukan ini. 

Katanya SEDC adalah agensi pelaksana bagi kerja-kerja menaiktaraf SCV ini dimana kerja-kerja fizikal akan bermula pada November ini dan dijangka siap pada Jun 2022. 

Dengan siapnya projek ini kelak, pihaknya yakin ia akan menambahbaik kualiti fasiliti sedia ada di SCV ini. 

Katanya bagi menarik kedatangan pelawat ke SCV yang dibuka semula kepada pelawat pada 1 Oktober lalu, pihak SCV menawarkan promosi yuran kemasukan pada kadar RM20 sahaja bagi seorang dewasa rakyat Sarawak. 

Manakala bagi pelawat bukan rakyat Sarawak, yuran masuk ke SCV dikenakan pada kadar RM60 seorang dewasa dan promosi ini adalah sah sehingga hujung Disember ini. 
 

  • oleh
  • Advertisement