Anda di sini

Hutan simpan berusia lebih 200 tahun khazanah alam bernilai di Pulau Tenggol

Advertisement
Hutan Simpan Pulau Tenggol yang diwartakan sejak 1941 itu berkeluasan 207 hektar dan merupakan ‘hutan dara’ atau masih terpelihara daripada sebarang aktiviti termasuk pembangunan serta pencerobohan. -Gambar Bernama
Hutan Simpan Pulau Tenggol yang diwartakan sejak 1941 itu berkeluasan 207 hektar dan merupakan ‘hutan dara’ atau masih terpelihara daripada sebarang aktiviti termasuk pembangunan serta pencerobohan. -Gambar Bernama

DUNGUN: Pulau Tenggol sememangnya dianggap sebagai syurga buat para penyelam berikutan keindahan hidupan di dasar lautnya yang mempunyai tarikan tersendiri berbanding pulau-pulau peranginan lain di Terengganu.

Namun, mungkin ramai tidak mengetahui pulau yang terletak di daerah Dungun itu juga kaya dengan pelbagai khazanah alam dan tumbuh-tumbuhan di kawasan hutan simpan kekal yang berusia lebih 200 tahun. 

Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu Roslan Rani berkata Hutan Simpan Pulau Tenggol yang diwartakan sejak 1941 itu berkeluasan 207 hektar dan merupakan ‘hutan dara’ atau masih terpelihara daripada sebarang aktiviti termasuk pembangunan serta pencerobohan. 

“Hutan Simpan Pulau Tenggol merupakan satu daripada 44 hutan simpan kekal di Terengganu. Antara spesis tumbuh-tumbuhan yang terdapat di dalam hutan simpan ini adalah spesis pokok Balau Laut dan Meranti dengan ada pokok-pokok ini berusia antara 150 hingga lebih 200 tahun.

“Di bahagian ‘lantai’ hutan ini juga terdapat banyak spesis herba seperti tongkat ali yang boleh dijadikan sebagai bahan kajian. Selain itu, terdapat juga pokok spesis Bogak yang boleh ditanam di atas pasu dan mempunyai nilai yang sangat tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di pulau berkenaan baru-baru ini.

Roslan berkata pihaknya sentiasa mengambil langkah proaktif untuk terus memelihara kawasan hutan simpan tersebut antaranya dengan mewujudkan petak ekologi atau Petak Hutan Simpan Dara berkeluasan lebih 133 hektar bagi aktiviti kajian mengenai spesis tumbuhan di situ.

Beliau berkata petak ekologi tersebut juga bakal dijadikan sebagai kawasan pembelajaran kepada pengunjung Pulau Tenggol terutama generasi muda supaya mereka lebih mengenali dan menghargai sumber alam sekitar itu. 

“Di sebahagian kawasan hutan simpan ini, kita akan meletakkan papan tanda yang memaparkan nama dan maklumat mengenai spesis-spesis tumbuhan yang terdapat di dalam hutan simpan ini untuk pengetahuan para pengunjung,” katanya.  

Sementara itu, pemilik bersama Tenggol Coral Beach Resort Galaxxy Siew berkata kewujudan hutan simpan tersebut juga merupakan satu daripada daya tarikan pelancong ke pulau itu terutama pencinta alam semula jadi.

“Kita memang sangat berharap kawasan hutan di Pulau Tenggol ini sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti pembangunan kerana ia memberi satu lagi nilai tambah kepada Pulau Tenggol kerana bukan sahaja golongan penyelam malah mereka yang sukakan tumbuh-tumbuhan juga akan suka datang ke sini.

“Kewujudan hutan simpan yang mengelilingi kawasan pulau juga menjadikan cuaca di sini sentiasa redup dan teduh. Jadi, pelancong dapat mandi di pantai tanpa rasa panas walaupun pada waktu tengah hari,” katanya yang ditemui pemberita pada program ‘Jom ke Pulau Tenggol’ selama empat hari bermula Khamis lepas.

Tenggol Coral Beach Resort yang beroperasi sejak 2013 merupakan antara tiga resort yang terdapat di Pulau Tenggol.

Dalam pada itu, Siew berkata bagi menggalakkan pengunjung lebih menghargai Hutan Simpan Pulau Tenggol, pihaknya menyediakan laluan pendakian di sebuah bukit berhampiran resort itu yang berketinggian kira-kira 100 meter.

Beliau berkata apabila berada di puncak bukit tersebut, para pendaki bukan sahaja disajikan dengan pemandangan Laut China Selatan malah mereka akan dapat menikmati kehijauan kawasan Hutan Simpan Pulau Tenggol yang terletak di bahagian belakang bukit. - BERNAMA
 

Advertisement