Anda di sini

Pertahanan TFC terlepas aksi antarabangsa kerana turun ke laut

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

SEPANG: Pemain pertahanan Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni tidak melaporkan diri bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Jordan, kerana turun ke laut.

Pengesahan itu dibuat Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap pengurus skuad Harimau Malaya Datuk Mohd Yusoff Mahadi (gambar).

Mohd Yusoff berkata beliau dimaklumkan mengenai status pemain Terengganu FC (TFC) berusia 23 tahun itu oleh Pengurus TFC Zulfadli Rozi menerusi panggilan telefon kurang dari 12 jam sebelum pasukan negara berlepas ke Jordan 3.15 pagi tadi.

“Sepanjang saya menjadi pengurus tak pernah berlaku lagi pemain tidak datang untuk panggilan skuad kebangsaan. Tetapi saya dihubungi pengurus TFC sebenarnya pemain ini dia ke laut.

“Jadi, bila dia (Muhamad Shahrul Nizam) di sana memang tak dapat dihubungi, petang (semalam) baru dia mendarat dan dia juga terkejut,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.

Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia akan berdepan Jordan (ke-93 dunia) di Stadium King Abdullah II di Amman pada 6 Oktober dan Uzbekistan (ke-84 dunia) di Stadium Antarabangsa Amman, 9 Oktober.

Terdahulu, Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe mengesahkan hanya membawa 22 pemain ke Jordan selepas Muhammad Sharul Nizam gagal dihubungi manakala pemain Selangor FC Sharul Nazeem Zulpakar terpaksa digugurkan saat akhir akibat kecederaan.

Nama Muhammad Sharul Nizam antara tiga pemain disenaraikan Cheng Hoe Khamis lepas bagi menggantikan tiga pemain utama iaitu pertahanan FC Midtjylland Dion Cools, Muhammad Syahmi Safari (Selangor FC) dan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Akhyar Abdul Rashid, akibat kecederaan.

Muhamad Shahrul Nizam diturunkan dalam kesebelasan utama TFC yang menewaskan Selangor FC 2-1 di Kuala Terengganu, Rabu lepas pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia 2021.

Mohd Yusoff tidak menolak kemungkinan penyenaraian saat akhir juga menyebabkan Muhamad Sharul Nizam tidak menyedari khidmatnya ditagih bersama skuad kebangsan kali ini.

Bagaimanapun, Mohd Yusoff berkata beliau menyerahkan perkara itu untuk dinilai dan dikaji di peringkat Sekretariat meskipun Zulfadli memohon tiada tindakan diambil ke atas Muhamad Shahrul Nizam, malah sanggup untuk memastikan di saat akhir pemainnya dapat menyertai pasukan.

“Kita tak nak perkara seperti ini berlaku lagi dalam mana-mana panggilan skuad kebangsaan pada masa hadapan,” katanya. - BERNAMA

Advertisement