KUALA LUMPUR: Kalangan pengurus bank bertauliah berperanan penting dalam institusi kewangan masing-masing untuk menyokong inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) memperkukuh kapasiti sektor ini dalam menguruskan risiko berkaitan iklim dan membangunkan kemampanan yang lebih teguh.
Menurut Insititut Pengurus Bank Berkanun Asia (AICB), ia merangkumi langkah memasukkan analisis berkaitan iklim ke dalam keupayaan teras seperti portfolio pelaburan, analisis kredit, kecukupan modal, pembangunan produk dan perkhidmatan pelaburan baharu, pengurusan risiko serta pengurusan kesinambungan perniagaan.
Memetik data BNM, pada November 2019, kira-kira 11.7 peratus daripada aset yang dimiliki oleh peserta kewangan di Malaysia berada dalam sektor yang berpotensi terdedah kepada perubahan iklim, jelasnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim berkata pihaknya menyaksikan kalangan bank mempertingkatkan usaha mereka, membangunkan alat analisis dan pendekatan baharu untuk menyepadukan pengurusan risiko iklim dalam lingkungan bank masing-masing.
“Pengurus bank bertauliah boleh melaksanakan peranan penting untuk memacu insiatif ini yang akan memperkukuh daya tahan bank dan melengkapkan matlamat pembangunan mampan negara,” katanya.
Beiau berkata bank-bank perlu kekal fokus dan komited terhadap beberapa agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang lebih luas dan sekiranya perlu bank seharusnya mula melakukan inisiatif tambahan.
“Justeru, pembangunan kapasiti kekal penting untuk membangunkan pegawai bank profesional dengan pemikiran, kemahiran dan kompetensi yang betul, sekali gus akan menyuburkan lagi budaya etika yang kukuh dan menyokong agenda kemampanan,” katanya.
Ketua Eksekutif AICB, Edward Ling pula berkata berlandaskan asas etika dan profesionalisme yang teguh, program Chartered Banker yang diiktiraf global dapat melengkapkan pengurus bank dengan pengetahuan yang luas dan keperluan profesional berkaitan perbankan.
Ia juga akan memperkasakan mereka untuk melakukan penilaian tepat selain membuat keputusan yang baik untuk memastikan kejayaan peralihan sektor ini kepada industri yang bertanggungjawab dan mampan, katanya.
Azman dan Ling berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada majlis penganugerahan Chartered Banker kali keempat oleh AICB yang diadakan secara maya.
AICB menganugerahkan status Chartered Banker itu kepada 276 pengurus bank.
Program Chartered Banker berkenaan dianugerahkan bersama Chartered Banker Institute, United Kingdom, satu-satunya institut di dunia yang boleh memberikan status tersebut.
AICB kini mempunyai 511 pengurus bank bertauliah, meningkat 49.6 peratus berbanding pada 2019.
Di samping itu, terdapat lebih 900 pegawai bank yang sedang mengikut pelbagai peringkat kemajuan program Chartered Banker.
Ahli Majlis AICB turut hadir pada majlis itu. - BERNAMA