Anda di sini

KDA FC korban terbaru Melaka United, JDT lepasi halangan PJ City FC

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi mangsa terbaru Melaka United FC yang bangkit daripada ketinggalan untuk mencipta kemenangan 3-1 pada aksi kedua Kumpulan C saingan Piala Malaysia, malam ini.

 Kemenangan di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu menyaksikan skuad bimbingan Ketua Jurulatih Zainal Abidin Hassan berjaya membalas dendam kekalahan 1-4 kepada KDA FC pada aksi terakhir Liga Super awal bulan ini.

Pasukan tuan rumah yang turun selaku pendahulu kumpulan memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mendahului seawal minit ketujuh menerusi Kpah Sherman yang tenang menampan bola hantaran rakan sepasukan Tchetche Kipre.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak kekal lama apabila gerakan KDA FC di dalam kawasan sendiri berjaya dipatahkan sebelum Sony Norde menyempurnakan lorongan Adriano Narcizo dengan melepaskan rembatan deras yang gagal ditampan kemas penjaga gol Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-23.

Permainan lebih kemas ditampilkan Melaka United terus membuahkan hasil apabila giliran pemain tengah Manuel Ott mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-39 sekali gus meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada separuh masa.

Momentum yang diperoleh pasukan pelawat diteruskan pada separuh masa kedua yang menyaksikan gol ketiga terhasil tujuh minit selepas rehat menerusi Ott yang melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti sebelum kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sehingga tamat permainan.

Keputusan itu membolehkan Melaka United yang mencatat dua kemenangan setakat ini merampas kedudukan pendahulu Kumpulan C dengan mengumpul enam mata sementara KDA FC di kedudukan kedua dengan tiga mata.

Pada masa sama, Juara 2019 Johor Darul Ta'zim (JDT) menarik nafas lega dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Petaling Jaya (PJ) City FC dalam satu perlawanan sengit di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Pemain prolifik JDT Gonzalo Cabrera muncul wira pasukan apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ketiga selepas berjaya memperdayakan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak menewaskan penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Selepas dua perlawanan, JDT kekal menerajui carta kedudukan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, empat mata dipisahkan dengan pencabar terdekat Sabah FC yang mengutip dua mata sementara PJ City FC dan Kelantan FC masing-masing di tempat ketiga dan keempat berkongsi satu mata.

Dalam pada itu, satu lagi aksi Kumpulan D menyaksikan Sabah FC nyaris diaibkan pasukan Liga Premier Kelantan FC apabila aksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Dua gol Sabah terhasil daripada sepakan penalti yang tenang disempurnakan kapten pasukan Risto Mitrevski pada minit ke-32 dan minit ke-80 sementara Kelantan FC memperoleh jaringan hasil sentuhan Natanael Siringo Ringo pada minit ke-39 dan pemain gantian Muhammad Haziq Mohd Subri pada minit ke-70. - BERNAMA

Advertisement