Anda di sini

Longgar syarat perjalanan, bangkit semula industri pelancongan 

Advertisement
 

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) menggesa pihak berkuasa melonggarkan syarat perjalanan apabila Sarawak membuka industri pelancongannya kelak selepas beberapa bulan ditutup akibat pandemik COVID-19. 

Menurut Abdul Karim, meskipun menyedari penting untuk Sarawak kekal berjaga-jaga untuk menghentikan penularan COVID-19, kementeriannya menerima aduan kesukaran untuk memasuki negeri malah perjalanan dalam daerah. 

“Pada masa ini, jika individu berhasrat untuk masuk ke Sarawak atau membuat perjalanan antara daerah, individu itu perlu mendapatkan kebenaran daripada polis dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS). 

“Kita berharap setelah Sarawak memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), semua ini akan dilonggarkan sedikit,” katanya ketika sidang media pada Rabu. 

Tambah Abdul Karim, pihak berkuasa juga harus mempertimbangkan memberikan kebenaran kepada mereka yang lengkap semua kriteria diperlukan untuk memasuki negeri atau membuat perjalanan antara daerah segera kerana negeri perlukan pelawat bagi melonjakkan semula sektor pelancongan. 

“Seluruh Sarawak kini memasuki Fasa 3 PPN, jadi saya fikir semua sekatan perjalanan ini boleh dilonggarkan sedikit oleh pihak berkuasa. Saya sedar masih terdapat ancaman COVID-19 dimana-mana tetapi kita juga perlu membuka sektor kita juga,” ujarnya. 

Meskipun menggesa lebih banyak kelonggaran peraturan ke atas kemasukan ke negeri dan perjalanan antara daerah, Abdul Karim tetap mengingatkan semua bahawa sekatan ini masih penting bagi Sarawak kerana pandemik COVID-19. 

Justeru katanya adalah penting untuk semua mencari jalan untuk membantu sektor pelancongan dibuka dan pada masa yang sama menangani isu COVID-19. 

Dalam pada itu oleh kerana seluruh Sarawak memasuki Fasa 3 PPN pada 1 Oktober ini, kementerian menurut Abdul Karim telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) hari ini bagi mereka yang mahu memasuki Sarawak dan membuat perjalanan antara daerah bagi tujuan pelancongan. 

SOP tersebut diumumkan oleh Abdul Karim pada sidang media tersebut yang turut dihadiri Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting. 

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Sharzede Salleh Askor.

  • oleh
  • Advertisement